fbpx
PEGAWAI penjara memberi kata-kata semangat kepada banduan sempena Program Pelepasan Banduan Secara Lesen Madani Yakin: Kepulangan Yang Dinanti di Dewan Perdana Penjara Bentong, di Bentong semalam.

‘Malu orang panggil mak cik keluar penjara’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BENTONG – “Saya akui malu ke­rana pada usia begini orang sudah panggil mak cik, tetapi masih terjebak dengan dadah”.

Demikian luahan seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Siti, 44, selepas dibebaskan lebih awal sempena Program Pelepasan Banduan Secara Le­sen Madani Yakin: Kepulangan Yang Dinanti di Dewan Perdana Penjara Bentong, di sini semalam.

Siti yang berasal dari Temerloh sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 11 bulan selepas disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki peralatan menghisap dadah.

Namun, dengan pengurangan hukuman dia dibebaskan selepas hanya tujuh bulan menjalani hukuman.

Katanya, pengalaman kali kedua dipenjara benar-benar menginsafkan, apatah lagi dirinya kini semakin berusia dan mempunyai empat orang anak berusia antara 17 hingga 24 tahun.

“Anak-anak marah dengan saya. Ada yang enggan datang melawat, cuma seorang saja yang sanggup menjenguk ketika saya di penjara. Itu membuatkan saya rasa lebih bersalah dan berazam untuk berubah,” katanya.

Mengimbas kisah silam, Siti mengakui pernah bebas daripada najis dadah selepas keluar penjara pada 2009, namun terjebak semula kerana pengaruh bekas suami dan tekanan hidup selepas bercerai hampir lima tahun lalu.

Ujarnya, pembebasan lebih awal sempena Hari Malaysia 2025 memberi peluang kedua untuknya memperbaiki diri
dan menebus kepercayaan keluarga.

“Saya tak mahu ulangi kesilapan yang sama. Anak sulung saya sendiri pernah pesan, kalau saya terjebak lagi dengan dadah, dia tak mahu peduli saya. Kata-kata itu menjadi semangat untuk saya membina hidup baharu.

“Selepas ini saya mahu cari kerja di kampung, duduk bersama anak-anak dan tinggalkan terus kisah hitam lalu. Cukuplah sekali lagi saya dimalukan begini,” ujarnya.

Dalam pada itu bagi Zack, 20-an dari Klang, Selangor pula mengakui kesilapannya apabila kali ketujuh ditahan pihak berkuasa atas kesalahan mencuri motosikal, selepas sebelum ini enam kali pernah disabitkan kesalahan berkaitan dadah.

“Walaupun tiada hukuman sebatan dikenakan, pengalaman berada di balik tirai besi memberi pengajaran besar kepada saya terutama apabila mengenangkan masa depan tidak menentu.

“Saya masih muda, belum berkahwin dan mahu cari kerja halal. Saya sudah insaf,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN