PENUNTUT Universiti Multimedia Malaysia (MMU) menjadi antara khalayak paling bertuah apabila berpeluang menyaksikan persembahan percuma Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama penyanyi Bob Yusof dalam Program Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) – Sounds of Malaysia pada 27 Ogos lalu.
Lebih istimewa, penyanyi nombor satu negara itu mendendangkan lagu Gubahanku bersama iringan gesekan biola tokoh kesayangan ramai, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.
Suasana konsert yang menghiburkan secara tiba-tiba bertukar syahdu apabila apabila Siti mencium pipi Tun Hasmah seusai persembahan tersebut.
Bahkan, pemilik nama lengkap Siti Nurhaliza Tarudin itu turut menzahirkan penghargaan dapat kolaborasi bersama OTM yang dianggap dekat di hati sejak sekian lama.
“OTM sangat dekat dengan saya. Saya dah bekerja dengan OTM dari mula kerjaya seni dahulu sampai ke hari ini.
“Konsert saya pernah diiringi OTM beberapa kali. Apa saya banggakan peralatan muzik yang dimainkan adalah alat muzik kebangsaan kita daripada seluruh negeri,” katanya usai menyampaikan lagu Gubahanku.
Sebelum kemunculan Siti dan Bob, seisi dewan yang dipenuhi kira-kira 3,000 penonton termasuk pelajar, kakitangan dan alumni MMU disajikan dengan persembahan lain yang sangat mengagumkan.
Kehadiran segelintir peminat setia Siti iaitu Sitizoners, turut menyuntik kemeriahan apabila mereka hadir memberikan sokongan padu kepada idola kesayangan.
Program berkenaan terbahagi kepada dua segmen iaitu persembahan muzik OTM serta penari daripada Artis Tari Istana Budaya (ARTISTANA) dan pemuzik, penari, penyanyi serta kumpulan persembahan dari MMU seperti Kumpulan Ebee Vokal, Silat Cekak Pusaka Hanafi, Wushu Club, Rentak Dance Group, Chinese Orchestra Society dan University Peer Group.
Segmen pertama menampilkan kepelbagaian dan keharmonian budaya yang wujud dalam kampus MMU selain memberi peluang kepada pelajar dan pensyarah menonjolkan bakat mereka bersama kumpulan profesional.
Segmen kedua pula menyaksikan penampilan istimewa Siti Nurhaliza dan Bob sekali menjadi tarikan utama terhadap program ini.
Penganjuran Sounds of Malaysia bertujuan memupuk nilai ihsan melalui persembahan seni, di samping mendidik generasi muda agar terus menghargai serta memelihara warisan muzik tradisional negara.
Bob pula menghiburkan penonton dengan lagu Zapin Bunga Hutan, Tergeleng-geleng dan Ikan Dalam Kolam. Selain Gubahanku, Siti membawakan lagu Badarsila dan Kurik Kundi ke pentas Program Jangkauan OTM – Sounds of Malaysia.
Menutup tirai, kedua-dua penyanyi itu berduet membawakan rangkaian lagu patriotik iaitu Warisan, Tanggal 31 dan Joget 106 sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-68.