SETIAP tahun, antara Julai hingga Oktober, ikan layaran akan menjadikan perairan Rompin, Pahang sebagai hentian sebelum bergerak menuju ke Selatan.
Laluan migrasi tahunan ikan itu di Laut China Selatan menjadikan kawasan ini seperti hentian rehat semula jadi yang penuh hidangan lazat. Suhu laut 26–30 darjah Celsius dan kehadiran ikan seperti selar, tamban serta pelbagai spesies lagi menjadikan perairan ini lokasi strategik bagi sang ‘pelayar’ mengawan dan berehat.
Pemancing dari seluruh dunia akan datang ke Rompin bukan sekadar untuk memancing, malah merasai deruan pecutan adrenalin memancingnya.
Di Rompin, layaran tidak diburu untuk dijadikan lauk, sebaliknya dilepaskan kembali selepas pertarungan. Ia satu amalan catch and release yang kini menjadi piawan standard di sana.
Untuk memancing layaran, pemancing boleh mencuba pelbagai teknik. Antara yang popular adalah kaedah berhanyut umpan hidup yang dicangkuk ke mata kail, sebelum dibiarkan hanyut di kawasan terdapat layaran bermain.
Teknik pancingan lain juga boleh dipraktikkan, namun apa pun tekniknya, detik ketika tali pancing ‘menjerit’ dan joran melentur yang membuatkan Rompin terus menjadi nama besar di peta sport fishing antarabangsa.
Set peralatan yang disarankan untuk memancing layaran jika mempraktikkan teknik berhanyut umpan hidup adalah dengan menggunakan sekurang-kurangnya joran PE2-6, kekili saiz 6000 ke atas, tali utama 50 paun (lb) minima dan shock leader fluorocarbon 80lb.
Digalakkan kepada pemancing untuk menggunakan mata kail lingkar (circle hook) supaya ikan tercangkuk di sudut mulutnya. Ini membuatkan ia mudah dikeluarkan untuk dilepaskan semula nanti tanpa kecederaan serius.
Jika menggunakan mata kail bentuk ‘J’, selalunya ikan tertelan terlalu dalam hingga ke perut.

Rancangan Salam Pacakkk
Baru-baru ini, ketika saya turun ke Rompin untuk menjayakan program memancing, Rancangan Salam Pacakkk (RSP) yang dihoskan oleh pelakon dan pengarah, P. Jegan.
Program terbitkan DPM Studio Sdn. Bhd. itu baru sahaja selesai penggambaran, dan kini memasuki fasa pasca produksi dan bakal bersiaran di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Menjadi satu penghormatan buat saya apabila dijemput sebagai tetamu untuk episod ke-12.
Untuk episod itu, ikan sasaran merupakan layaran. Kami bernasib baik kerana hadir ketika musimnya baru bermula.
‘Senjata’ yang menjadi pilihan untuk trip ini adalah joran Penn Battle IV yang dipadankan dengan kekili Penn Authority saiz 6500. Mainline tali braided Berkley X9 50lb disambung leader fluorocarbon 80lb.
Saya bersama-sama kru bertolak menuju ke lokasi pertama yang jaraknya lebih kurang 30 minit perjalanan dari jeti awam Pantai Bernas untuk mencari ikan-ikan umpan seperti kembung, selar dan tamban mengunakan apollo.
Selesai mengutip umpan, kami terus menuju ke lokasi seterusnya.
Di dalam perjalanan, kami bertembung dengan seekor ikan marlin melompat seakan-akan menari di permukaan air. Tanpa berlengah, tekong terus memberhentikan bot untuk kami cuba memancingnya.
Saya memilih ikan selar bersaiz empat jari, walaupun tidak pernah mendaratkan ikan marlin. Namun, berbekal pengalaman saya menyertai Royal Pahang Billfish International Challenge, corak pemakanan dan buruan ikan tersebut dan layaran adalah sama.

Tidak sampai seminit umpan dihanyutkan, kekili ‘memuntahkan’ tali tanpa henti, tempoh ini sedikit kritikal kerana ketika ikan berparuh (billfish) melarikan umpan, anda perlu berikan beberapa saat sebelum melakukan hook-up. Kebiasaannya, saya membiarkan selama 20 saat.
Sebaik saja circle hook menancap sudut mulut ikan, nyanyian nyaring drag mengiringi pertempuran.
Tidak sampai 30 saat, larian pertamanya sudah membuatkan tali di gelendung tinggal separuh.
Saya menyangkakan ikan marlin yang membaham umpan, namun setelah ia melompat keluar dari air, barulah sedar itu ikan layaran.
Hampir 15 minit berjuang, akhirnya ikan sepanjang 1.85 meter dengan anggaran berat hampir 35 kilogram (kg) berjaya ditewaskan.
Seperti biasa, setiap kali ikan layaran berjaya didaratkan, ia akan ditahan di sisi bot sehingga kembali bertenaga, sebelum dilepaskan semula.
Bull shark
Sebaik sahaja layaran itu berenang menjauh, tiba-tiba dari bawah air muncul kelibat bayangan besar.
Dalam sekelip mata, tiga ekor bull shark atau yu garang, masing-masing dianggarkan mencecah saiz 300kg menyerbu ikan yang dilepaskan.
Air berkocak bertukar warna merah, sirip-sirip besar itu memecah permukaan air. Dalam beberapa detik, layaran yang baru dibebaskan hilang dari pandangan, dibaham tanpa sempat melarikan diri.
Petang itu, sebelum kami berangkat pulang, P. Jegan pula berjaya dalam usahanya menaikkan seekor layaran, sekali gus menutup sesi rakaman.















