BANGKOK – Pemangku Perdana Menteri, Phumtham Wechayachai bertindak untuk membubarkan Parlimen hari ini, kata partinya selepas kumpulan pembangkang terbesar menyokong calon saingan untuk memimpin Thailand.
Keputusan itu mungkin menyaksikan pilihan raya umum diadakan menjelang akhir tahun ini, hanya dua tahun selepas pilihan raya terakhir pada Mei 2023.
Kekosongan melanda kerusi perdana menteri sejak Jumaat lalu, apabila Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra dipecat oleh Mahkamah Perlembagaan kerana pelanggaran etika.
Parti Pheu Thai yang dianggotai beliau dan memerintah Thailand telah memujuk parti pembangkang utama, Parti Rakyat supaya menyokong calon baharu Pheu Thai untuk jawatan perdana menteri.
Namun, Parti Rakyat sebaliknya mengisytiharkan sokongan kepada hartawan konservatif, Anutin Charnvirakul.
Tidak lama kemudian, Setiausaha Agung Pheu Thai, Sorawong Thienthong memberitahu AFP bahawa Phumtham ‘telah menyerahkan dekri pembubaran Parlimen’.
Sama ada kerajaan sementara mempunyai kuasa untuk membubarkan Parlimen adalah persoalan yang hangat diperdebatkan.
Bagaimanapun, menurut perlembagaan Thailand, jika raja meluluskan pembubaran Parlimen, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 45 hingga 60 hari.
“Kemungkinan pilihan raya akan diadakan dalam masa beberapa bulan akan datang.
“Pilihan raya adalah penyelesaian terbaik untuk negara ini, kerana kini hampir mustahil untuk membentuk kerajaan yang normal,” kata penganalisis sains politik dari Universiti Ubon Ratchathani, Titipol Phakdeewanich. – AFP