SHAH ALAM – Semua pihak diingatkan agar tidak mengganggu kedudukan dan peranan asal Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Pro Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, ini berikutan penubuhan dan pembentukannya dalam melindungi hak Melayu, Orang Asli serta anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak.
Tegas baginda, ia adalah selari dengan Akta 173 (1A) dan mengikut Peruntukan Perkara 153
Perlembagaan Persekutuan yang akan terus dipelihara dengan utuh.
“Syabas buat UiTM kerana masih kekal relevan dalam usaha membangunkan anak bangsa,” titah baginda sempena istiadat konvokesyen UiTM ke-102 di Dewan Agong Tuanku Canselor UiTM, di sini hari ini.
Tengku Permaisuri Norashikin turut mengingatkan generasi muda di negara ini supaya tidak malas menuntut ilmu meskipun telah tamat pengajian.
“Elakkan fitnah, berita palsu dan perbalahan yang boleh menggugat keharmonian negara. Ingatlah, jika baik penggunaannya, baiklah hasilnya; jika buruk, padahlah akibatnya.
“Selain itu, sebagai sebuah negara majmuk, kita harus terus menyuburkan semangat saling menghormati antara agama dan budaya. Toleransi adalah tunjang keharmonian,” titahnya. – KOSMO! ONLINE