fbpx
Minerva sebak pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), hari ini. Foto oleh M FIRDAUS M JOHARI/ KOSMO!

David Balisong: ‘Tolong…ibu rayu hubungi kami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – “Kami amat menyayangimu dan tidak sabar untuk melihat dan memelukmu.”

Demikian luah Minerva Balisong, 50, iaitu ibu kepada remaja Britain, David Balisong yang dilaporkan hilang hampir tiga bulan selepas tiba di negara ini dari United Kingdom (UK) sejak 7 Jun lalu.

Minerva yang berasal dari Filipina dan kini menetap di UK sejak 24 tahun lalu berkata, dia tiba di Malaysia sejak 12 Julai lalu bagi mengesan anaknya, namun masih belum menemui sebarang petunjuk baharu.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, dia yang ditemani adik-beradiknya dari Filipina dan Kanada telah berusaha bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mencari anaknya.

“Sebagai seorang ibu yang sedang berjuang mencari anak lelaki yang hilang, saya merayu kepada setiap rakyat Malaysia supaya dapat membantu kami untuk mengesan anak kami.

“Kepada anak kesayangan kami, David, jika kamu sedang melihat atau mendengar, tolong….ibu merayu agar kamu hubungi kami, supaya kami tahu kamu masih hidup dan beritahu kami bagaimana kami boleh bantu kamu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di ibu pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), di sini hari ini.

Sebelum ini, polis mengesahkan Balisong berlepas seorang diri dari Lapangan Terbang Manchester dan diberikan visa selama 90 hari sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Jun.

Minerva berkata, kehilangan anak sulung daripada tiga beradik itu disedari selepas tidak pulang ke rumah sejurus menjalani peperiksaan A-Level di sekolah.

Mengulas lanjut katanya, tiga hari selepas kehilangan David, keluarga menerima satu emel pada 9 Jun daripada alamat tidak dikenali mengaku anaknya yang meminta untuk tidak mencarinya.

Namun, dia sukar mempercayai kandungan emel itu dibuat anaknya kerana e-mel dan mesej suara yang dihantar kepadanya tidak berbalas malah telefon bimbitnya juga telah dimatikan.

Katanya, dia kini bimbang sekiranya David menjadi mangsa pemerdagangan manusia oleh sindiket penipuan pekerjaan di negara ini.

“Anak saya mahir menggunakan komputer dan dia memang meminati bidang siber sekuriti. Saya bimbang kelebihan anak saya itu dipergunakan oleh sindiket berkenaan.

“Pihak berkuasa juga ada memaklumkan David kemungkinan sudah merancang untuk melarikan diri beberapa bulan sebelum itu kerana telah mengeluarkan wang simpanannya sebanyak pound sterling (GBP) 1,300 (RM7,349) sejak Mac lalu,” jelasnya.

Jelasnya, dia percaya bahawa tindakan anaknya ke negara ini didorong oleh individu lain bagi menguruskan semua perkara secara sendiri memandangkan dia masih remaja.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim tidak menolak kemungkinan David menjadi mangsa pemerdagangan manusia berdasarkan kandungan emel yang dihantar remaja terbabit sama seperti trend sindiket penipuan.

“Saya percaya sindiket penipuan dalam talian sudah wujud di negara ini berdasarkan beberapa tangkapan dan serbuan pusat panggilan yang dilakukan polis sebelum ini.

“Sudah tiba masanya kita bertindak mengekang sindiket daripada beroperasi dan menjadikan negara ini sebagai pangkalan kegiatan haram mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI