Merdeka! Merdeka! Merdeka! Kelmarin, puluhan ribu rakyat Malaysia berbilang bangsa hadir meraikan sambutan Hari Kebangsaan di setiap negeri.
Masing-masing tidak mahu melepaskan peluang menyambut hari bersejarah negara. Ada yang sanggup datang seawal pukul 6 pagi ke acara perbarisan sambil mengibar Jalur Gemilang selain menghias si kecil dengan busana bertemakan warna bendera Malaysia.
Semangat rakyat kepada negara bukan sekadar hadir pada hari perbarisan, malah ada yang sanggup berhabis menghias rumah dan kenderaan masing-masing dengan Jalur Gemilang.
Yang Dipertua Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang, Datuk Abdul Kader Md Ali berkata, semangat patriotisme dalam mengibarkan Jalur Gemilang telah lama tertanam dalam jiwa rakyat sejak dari kecil.
“Kita menyeru masyarakat untuk mengibarkan Jalur Gemilang bukan hanya pada Hari Kemerdekaan (Ogos), malah sebelum dan sepanjang Bulan Kemerdekaan sampai sambutan Hari Malaysia (16 September).
“Ini sebagai satu hadiah besar kepada pejuang-pejuang kemerdekaan yang mengorbankan jiwa dan raga untuk kita mengecapi nikmat hidup yang selesa dan sejahtera,” katanya.
Menurut beliau, bagi memartabatkan keunggulan dan kemegahan Jalur Gemilang, ia harus bermula dari awal Jun sebagai permulaan kempen.
“Julai pula sambutan kemerdekaan dan Ogos sebagai bulan kecemerlangan kemerdekaan. Usaha ini untuk melahirkan nilai-nilai murni kepada masyarakat berapa tingginya nilai perjuangan kemerdekaan,” ujarnya.
Katanya, rakyat Malaysia seharusnya mengambil teladan mengenai semangat yang dilakukan oleh pejuang kemerdekaan melalui sifat pengorbanan dan keikhlasan.
Sementara itu, Ketua Aktivis Surplus, Sophian Mohd. Zain berpendapat, dalam meraikan Hari Merdeka, pihaknya menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya menghayati makna kemerdekaan dengan lebih mendalam.
“Kibaran Jalur Gemilang seharusnya tidak hanya menjadi simbol pada Ogos, tetapi satu lambang yang tersemat dalam jiwa setiap warganegara sepanjang masa.
“Jalur Gemilang bukan sekadar fabrik berwarna merah, putih, biru dan kuning. Ia mewakili darah, air mata dan keringat pejuang yang mempertahankan kedaulatan negara ini.
“Setiap helaian dan jalurnya adalah saksi bisu kepada perjuangan yang panjang dan getir,” katanya.
Namun realiti hari ini katanya, semangat kebangsaan dilihat makin terhakis. Anak muda semakin jauh daripada sejarah perjuangan bangsa, lebih mesra dengan trend semasa daripada mengenang jasa pahlawan terdahulu.
“Jalur Gemilang sepatutnya berkibar dalam prinsip keberanian, dalam tindakan menjaga hak rakyat. Ia perlu hidup dalam semangat mempertahan, bukan sekadar dibeli, dikibar dan dilipat semula apabila bulan Ogos sudah berakhir.
“Selagi semangat merdeka tidak ditanam dalam jiwa generasi muda, selagi itulah Jalur Gemilang akan terus menjadi hiasan, bukannya lambang kekuatan bangsa,” ujar beliau.
Bagi penulis, Jalur Gemilang bukan sekadar dikibar dan digantung pada tiang atau pagar rumah serta kenderaan, tetapi ia perlu disematkan di dalam hati yang berani dan jiwa yang merdeka.














