fbpx
Hafizah (kiri) bimbang keselamatan anak-anaknya susulan gempa bumi yang sering berulang di Segamat sejak Ahad lalu.

‘Mana kami hendak pergi jika tinggalkan Segamat?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEGAMAT – Ketakutan melan­da daerah Segamat selepas lima gempa bumi berlaku yang menyebabkan daerah ini dengan hampir 300,000 penduduk itu mula memikirkan tempat lain yang lebih selamat.

Rata-rata penduduk bimbang gegaran yang telah berlaku dalam tempoh enam hari sejak Ahad lalu itu akan berulang, malah dikhua­tiri gempa bumi pada masa akan datang menjadi lebih kuat.

Peniaga kuih-muih, Hafizah Yahya, 39, berkata, gempa bumi yang kerap berulang amat membimbangkan terutama sekali keselamatan anak-anaknya memandangkan dia seorang ibu tunggal.

“Kalau ikutkan hati, kami memang mahu pindah keluar dari Segamat. Sejak Ahad lalu, kejadian menakutkan ini menjadi bualan hangat penduduk daerah ini. Bukan sekali, malah banyak kali gegaran terjadi.

“Sebelum ini Segamat tidak pernah berlaku gempa, tetapi sekarang sudah terjadi.

“Cuma kalau nak pindah keluar dari Segamat pun, kami hendak tinggal di mana? Siapa yang boleh sediakan rumah untuk kami? Di mana saya hendak bekerja?” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Batu Badak di sini semalam.

Seorang pelajar Kolej Komuniti Segamat, S. Eswaran, 18, berkata, gegaran yang berterusan sehingga semalam bukanlah perkara yang remeh dan boleh dibiarkan.

“Apabila lihat keadaan gempa masih berlaku sampai ke pagi ini (semalam), ada rasa mahu pindah dari Segamat, tetapi kami tidak tahu hendak pindah ke mana setakat ini.

“Segamat adalah tanah tum­pah darah kami sekeluarga. Di sini juga saya membesar dan sedang sambung belajar,” katanya ketika ditemui di Buloh Kasap semalam.

Eswaran berharap pihak berwajib dapat merungkai misteri kejadian gempa bumi yang kerap berulang di daerah ini.

“Pihak berkuasa perlu mengan­jurkan program-program keselamatan gempa bumi kepada penduduk sebagai persediaan awal menghadapi bencana yang mungkin lebih teruk selepas ini,” ujarnya.

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Negeri Johor pula mengarahkan semua masjid dan surau Jumaat melaksanakan solat hajat dan doa selamat semalam bagi memohon keselamatan serta dijauhkan daripada bencana serta kerosakan.

Dalam kejadian keempat malam kelmarin, seorang penduduk, Mohd. Redzhuan Mohd. Yusof, 51, berkata, dia tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat seperti bom dan disusuli gegaran sehingga zink rumahnya berbunyi akibat berlaga satu sama lain.

Ketika kejadian, dia bersama isteri baru selesai menunaikan solat maghrib berjemaah di rumah dan sedang berwirid.

“Anak saya yang berusia tiga tahun juga menjerit meminta tolong kerana amat terkejut de­ngan gegaran itu dan terus meluru ke arah kami yang sedang duduk berwirid.

“Ini adalah gegaran kali keempat yang saya rasa yang mana gegaran kali pertama, kedua dan ketiga juga saya dapat rasakan tempoh hari,” katanya di Kampung Bumbun di sini.

Pada pukul 4.24 pagi semalam, Segamat sekali lagi dilanda kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 3.4.

Gegaran itu merupakan kali kelima selepas gegaran berlaku pada pukul 7.56 malam kelmarin dengan magnitud 2.5.

Pada Rabu lalu, gempa bumi lemah berukuran 3.2 magnitud berlaku pada pukul 8.59 pagi di daerah ini dengan gegaran turut dirasai di beberapa kawasan di negeri ini serta selatan Pahang.

Sebelum itu pada Ahad lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengesahkan gempa bumi lemah berlaku di daerah ini pada pukul 6.13 pagi dengan kekuatan magnitud 4.1.
Ini disusuli gegaran kedua pada pukul 9 pagi di Yong Peng, 28 kilometer (km) di barat laut Klu­ang dengan magnitud 2.8 pada kedalaman 10km.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN