fbpx
ATITIH ketika dinobatkan sebagai pemenang Unduk Ngadau Kaamatan 2025.

Guna media sosial promosi warisan sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pesona Ahad minggu ini bukan sekadar memikat perhatian kerana kecantikan semula jadinya, malah memiliki aura tersendiri ketika berdiri di atas pentas kebudayaan.

Gelaran Unduk Ngadau Kaamatan 2025 yang disandang Atitih Yati Robert baru-baru ini melengkapkan perjalanan panjang seorang gadis yang sentiasa positif dan yakin dengan kebolehan diri.

Sumandak Sabah berusia 26 tahun ini pernah menyertai pertandingan sama ketika berusia 18 tahun pada 2017.

Pada percubaan pertamanya itu, beliau berjaya menembusi senarai 15 terbaik peringkat negeri namun terhenti di pusingan tersebut berikutan persediaan yang masih belum mantap.

Namun begitu, kalah sekali bukan bererti kalah selamanya, kekalahan tersebut menjadi titik tolak untuk mempersiapkan diri sebaik mungkin pada masa akan datang.

Lapan tahun kemudian, beliau kembali ke pentas sama dengan semangat baharu dan persiapan yang jauh lebih matang.

Tempoh ‘berehat’ digunakan sepenuhnya untuk mempertingkatkan imej diri, mengukuhkan latar akademik serta memperdalam kefahaman terhadap akar budaya dan bahasa ibunda sehingga beliau berjaya meraih kemenangan sekali gus dinobatkan sebagai Unduk Ngadau pada tahun ini.

Bagi Atitih, Unduk Ngadau bukan sekadar mahkota dan selempang, tetapi lambang pengorbanan, nilai kasih sayang serta kekuatan wanita dalam budaya masyarakat
Kadazan Dusun Murut Rungus.

KOSMO! AHAD: Boleh perkenalkan diri?
ATITIH: Saya merupakan anak keempat daripada sembilan beradik dan membesar dalam keluarga sederhana, yang banyak mengajar saya erti berdikari dan menghargai kebersamaan.

Ceritakan mengenai latar pendidikan sejak sekolah sehingga ke peringkat universiti?
Saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Ongkilan sebelum menyambung ke SMK Bandau dan Pra-U di SMK Kota Marudu.

Selepas itu saya meneruskan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan telah bergraduasi pada tahun lepas (2024).

Apakah bidang pengajian di universiti dan mengapa memilih bidang tersebut?
Saya mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu. Sejak sekolah rendah lagi Bahasa Melayu merupakan subjek kegemaran saya dan saya sering mendapat keputusan terbaik.

Dari situlah timbul minat untuk mendalami bidang ini dan berkongsi kecintaan terhadap bahasa ibunda dengan murid-murid saya suatu hari nanti.

Apa bidang kerjaya yang diceburi sekarang?
Pada masa ini, saya sedang menggalas tanggungjawab sebagai seorang Unduk Ngadau serta duta Muzium Sabah.

Kedua-dua peranan ini banyak melibatkan saya dalam aktiviti kebudayaan dan promosi warisan negeri.

Pada masa sama, saya juga sedang menanti penempatan rasmi untuk mengajar sebagai seorang guru.

Sebagai Unduk Ngadau, bagaimana melihat peranan budaya dalam kehidupan generasi muda hari ini?
Saya rasa budaya bukan sekadar sesuatu yang kita kenang, tetapi harus hidup dalam diri kita.

Sebab itu saya gunakan platform media sosial untuk tarik minat anak muda supaya mereka kenal dan bangga dengan warisan sendiri. Bila kita tahu asal-usul, kita lebih yakin menjadi diri sendiri.

Baru-baru ini kecoh mengenai kes arwah Zara Qairina yang didakwa menjadi mangsa buli. Sebagai bakal pendidik, apa pandangan Atitih tentang isu buli di sekolah?
Saya sangat kecewa dan sedih dengan kes yang menimpa arwah adik Zara.

Sebagai seorang bakal guru, perkara ini begitu dekat di hati saya. Saya percaya peranan guru sangat penting untuk membendung isu buli.

Selagi saya mampu, saya akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan murid-murid saya berasa selamat dan dihargai di sekolah kelak serta mempunyai kesedaran secukupnya mengenai buli.


GADIS cantik ini bercita-cita menjadi seorang guru Bahasa Melayu.

Adakah pernah berdepan dengan kes buli sewaktu di bangku sekolah?
Sejujurnya saya tidak pernah melalui pengalaman dibuli.

Sejak kecil saya seorang yang tegas dengan persekitaran dan mempunyai ramai kawan.

Tambahan pula, saya mempunyai abang dan kakak yang sentiasa melindungi saya di sekolah.

Apakah impian dalam tempoh lima tahun akan datang?
Saya berhasrat untuk menjadi seorang pendidik yang boleh dijadikan teladan dengan pelbagai sumbangan, menyambung pengajian ke peringkat tertinggi, mencapai kestabilan kewangan.

Pada masa sama kekal aktif dalam usaha memelihara serta memperkenalkan tradisi kebudayaan Sabah di peringkat lebih tinggi.

Apa yang biasanya dilakukan untuk kekal aktif dan positif?
Saya sangat suka aktiviti lasak seperti hiking dan jungle trekking.

Ia bukan sahaja memberi saya tenaga tetapi juga keyakinan diri. Selain itu saya sentiasa amalkan gaya hidup sihat, tidur awal, berpuasa dan minum air secukupnya.

Siapa yang menjadi inspirasi terbesar dalam hidup Atitih?
Ibu saya. Walaupun tidak mempunyai pendidikan formal, beliau membesarkan sembilan orang anak dengan penuh kesungguhan dan kreativiti. Beliau banyak mengajar saya tentang erti usaha dan pengorbanan.

Ciri-ciri lelaki idaman pula bagaimana?
Saya tertarik dengan lelaki yang berpendidikan, beragama, merendah diri, rajin dan stabil dari segi kewangan. Saya tidak suka lelaki yang pemalas dan panas baran kerana sifat tersebut boleh merosakkan hubungan.

Perkara menarik tentang diri yang ramai orang belum tahu?
Ramai mungkin tidak tahu bahawa saya boleh menyanyi, menari, dan berlakon.

Malah, ketika berusia 13 tahun saya pernah mendapat tawaran untuk masuk ke sekolah seni di Sarawak dalam bidang teater setelah berjaya melepasi sesi uji bakat.

Namun, saya terpaksa menolak tawaran itu kerana tidak mahu berjauhan dengan ibu bapa pada usia yang masih muda.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN