JAKARTA – Penduduk sebuah perkampungan di Pulau Madura mengundang perhatian ramai apabila memasang sepanduk yang menggelar kawasan itu sebagai ‘kampung pencuri’, lapor portal berita Lambe Turah semalam.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @pamekasanchannel memaparkan sepanduk yang digantung pada laluan masuk utama.
Sepanduk itu bertulis: “Selamat Datang di Desa Maling. Kami yakin malingnya (pencuri) bukan orang jauh (luar).”
Penghulu kampung, Marsuto Alvianto menjelaskan bahawa pemasangan sepanduk itu dibuat kelmarin selepas menerima banyak aduan mengenai kehilangan harta benda.
“Saya juga pernah kehilangan emas bernilai 125 juta rupiah (RM32,408). Rakan saya kehilangan motosikal dan ramai penduduk menjadi mangsa. Jika dikira, terdapat enam kes kecurian motosikal,” kata Marsuto.
Ketua Perhubungan Awam Polis Pamekasan, AKP Jufriadi berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu. – AGENSI