KEMAMAN – Tiga sekawan memanfaatkan kemahiran mereka dalam membuat pelita daripada buluh sehingga mampu meraih pendapatan sampingan mencecah puluhan ribu ringgit menjelang musim perayaan Aidilfitri ini.
Ahmad Farid Shaifuddin Muda,34, berkata, dia dan dua rakannya, Muhammad Amirul Mohd Shafiee,32 dan Mohd. Ikhwan Che Wan Mohd. Rosli,30, telah menerima lebih 500 tempahan daripada orang ramai.
“Kami buat pelita buluh secara suka-suka untuk mengembalikan kenangan zaman kanak-kanak memasang pelita pada waktu malam tujuh likur.
“Tidak sangka dapat banyak pujian ramai menyebabkan kami sepakat untuk menjualnya bagi mencari ‘duit raya’ pula pada tahun ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Gong Limau, di sini semalam.
Ahmad Farid Shaifuddin yang bekerja sebagai tukang rumah berkata, mereka tidak menyangka sambutan diterima memberangsangkan biarpun pada mulanya sekadar menyasar jualan sebanyak 50 batang.
“Kami menjual pelita buluh empat sumbu bersaiz antara 0.6 hingga 0.9 meter pada harga RM20 sebatang manakala RM30 untuk pelita lapan sumbu berukuran antara 1.21 meter hingga 1.5 meter,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Amirul pula berkata, pelita buatan mereka menggunakan buluh jenis berang dan duri yang tebal, malah tahan lasak dan tidak mudah pecah.
Pekerja industri minyak dan gas itu berkata, pelita yang diperbuat daripada dua jenis buluh berkenaan mampu bertahan sehingga dua tahun bergantung kepada cara penjagaan dan penyimpanan.
“Bekalan buluh dicari sendiri di dalam hutan sekitar daerah ini. Setiap hari, kami dapat menyiapkan sekurang-kurangnya 20 batang pelita. Tempahan diterima bukan sahaja dari daerah ini dan sekitar malah hingga ke Chendor, Pahang,” katanya.














