MENGIMBAU semula kenangan di bangku sekolah rendah, penulis pernah diajukan soalan mengenai cita-cita oleh salah seorang guru dan jawapannya ketika itu adalah untuk bergelar pemain bola sepak.
Bagi yang lahir 80-an, bola sepak era 90-an ke era milenium cukup ‘berhantu’ hingga mampu menarik minat kanak-kanak untuk membabitkan diri dengan sukan itu, namun masa berlalu, peminat kini lebih banyak dihidangkan dengan cerita tunggakan gaji.
Malah ketika ini, adanya ramai pemain import dan Liga Malaysia (Liga M) juga dibanjiri oleh bintang warisan hingga berlakunya kesukaran untuk pemain tempatan mendapatkan dalam pasukan.
Bukan bermaksud untuk menuding jari kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kerana adakalanya keputusan dibuat mengikut tuntutan semasa dan mengambil kira semua itu, wujud persoalan adakah masa depan boleh dijamin hanya bermain bola sepak?
Selain kekalkan cita-cita, adalah wajar pemain sedia ada atau akan datang memikirkan tentang pendidikan tinggi yang mungkin boleh dijadikan Pelan B jika tidak lagi mampu mengembangkan karier.
Pemenang Ballon d’Or, Rodri sendiri pernah mengakui melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi mampu beri ‘nyawa kedua’ memandangkan karier bola sepak tidaklah begitu panjang.
Di luar sana, ada bekas pemain berkelas dunia yang berjaya di luar bola sepak seperti Mamadou Sakho yang bergelar usahawan hartanah, Mathieu Flamini (menubuhkan syarikat bio sains) dan Clarence Seedorf mengusahakan restoran Jepun.
Melihat nasib tidak baik menimpa ‘pesara bola sepak’, bekas pengendali Harimau Malaya, Datuk Dollah Salleh menjadi perintis untuk kembali bergelar ‘Budak U’ bagi membina perancangan masa depan lebih cerah.
Walaupun bakal genap 62 tahun, Oktober ini, Dollah tidak merasakan terlambat untuknya sertai inisiatif Yayasan Lagenda yang membuka peluang kepada bekas pemain bola sepak untuk melanjutkan pengajian.
“Kalau kita lihat khasnya pemain (nama) besar zaman saya, ramai yang ‘luput’ dan lenyap begitu saja, dengan tidak ada kerja malah kita dengar ramai yang terpaksa meminta bantuan kewangan. Benda ini (melanjutkan pengajian) juga akan membantu mereka demi masa depan.
“Bagi saya tidak ada istilah terlewat. Ketika saya dicadangkan oleh Azlan Johar (Pengerusi Yayasan Lagenda), mula-mula saya pun cakap ia perkara merepek tetapi selepas dengar nasihatnya, saya fikir ajakannya ada betulnya juga.
“Saya sudah tua pun tidak mengapa dan saya diberitahu ada orang berusia 80 tahun lebih pun masih belajar,” kata yang menyambung pengajian ke peringkat ijazah dan master jurusan sains sukan di Kolej Universiti Antarabangsa Spektrum.
Dalam hal ini, penulis merasakan Azlan wajar diberikan pujian kerana menggerakkan yayasan itu bagi membantu bekas pemain mendapatkan pendidikan.
Yayasan Lagenda juga bersedia mencari dana bagi menampung kos pengajian mereka.
“Peringkat awal kami sasarkan sekurang-kurangnya 20 bekas pemain dan mereka yang berminat boleh membuat permohonan kepada Yayasan Lagenda. Bagi peringkat pertama ini kami buka peluang kepada bekas pemain negara dahulu.
“Mungkin selepas ini kami buka kepada pemain negara yang masih aktif,” katanya.














