JUMAAT lalu, Kementerian Kewangan (MoF) mengeluarkan Kenyataan Prabelanjawan 2026, menjelang pembentangan di Parlimen pada 10 Oktober 2025.
Ia antara lain menyatakan bahawa bantuan sosioekonomi akan diteruskan bagi melindungi kumpulan berisiko tinggi yang terjejas akibat tekanan kos sara hidup, sambil mengurangkan kesilapan dalam penyasaran agar bantuan disasarkan dengan tepat kepada golongan yang memerlukan.
Kerajaan kini dilihat berdepan cabaran besar untuk menghasilkan imbangan tepat antara mengekalkan subsidi yang menjadi benteng sosial utama dan keperluan memenuhi tanggungjawab fiskal.
Justeru, sebagai bakal penerima manfaat, mungkin belum terlewat bagi rakyat Malaysia untuk menzahirkan cadangan dan permintaan mereka supaya ia dapat dinilai sebaiknya.
Sekiranya ramai bersatu hati dan bersependapat pada satu permintaan spesifik, munasabah, berpandukan data serta berpijak di bumi nyata, pastinya ia sukar untuk diendahkan kerajaan.
Sebarang komen, maklum balas dan cadangan mengenai Belanjawan 2026 boleh disalurkan melalui portal rasmi https://belanjawan.mof.gov.my.
Harapan penulis adalah supaya kerajaan dapat mempertimbangkan pelaksanaan penguatkuasaan peraturan cukai eksais baharu, P.U.(A) 402/2019 dijadualkan bermula pada 2026, yang dikatakan bakal menaikkan harga kenderaan.
Mungkin ada kaedah atau cara baharu pelaksanaannya supaya harga jualan kereta baharu untuk rakyat marhaen tidak terjejas, memandangkan bayaran balik pinjaman kenderaan merupakan salah satu perbelanjaan utama bagi isi rumah berpendapatan rendah.
Bagi Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Muamalat Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, pendekatan dasar fiskal yang berhemah dijangka akan diteruskan bagi Belanjawan 2026.
Katanya, defisit fiskal dijangka terus mencatatkan trend menurun hasil usaha konsolidasi fiskal yang melibatkan langkah-langkah seperti percukaian dan rasionalisasi subsidi yang telah berlangsung dan bakal berlangsung.
“Semua ini akan menghasilkan suatu bentuk penjimatan dan akhirnya akan mengurangkan defisit fiskal.
“Selain itu, kerajaan dijangka akan terus meraikan mereka yang berpendapatan menengah dan rendah dengan meneruskan program bayaran tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta Sumbangan Asas Rahmah (Sara).
“Saya percaya dengan adanya pangkalan data yang lebih baik, kerajaan dapat menyalurkan bantuan-bantuan ini secara lebih bersasar dan mengelakkan ketirisan,” katanya ketika dihubungi.
Pada masa sama, Afzanizam percaya perbelanjaan pembangunan akan dinaikkan sejajar dengan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-13, yang mana jumlah perbelanjaan pembangunan dijangka mencecah RM430 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Jadi, kita akan menyaksikan purata perbelanjaan pembangunan berlegar dalam sekitar RM86 bilion setiap tahun, yang sudah pasti akan melibatkan projek-projek infrastruktur yang akan memanfaatkan rakyat dan perniagaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE














