PETALING JAYA – Seorang individu disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung penyebaran kandungan di media sosial berkaitan kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang dipercayai mengandungi maklumat palsu serta unsur 3R (kaum, agama dan institusi diraja).
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, individu terbabit telah dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada semalam bagi membantu siasatan.
“Pihak berkuasa turut menyita sebuah telefon bimbit dan sekeping kad SIM yang dipercayai digunakan dalam penyebaran kandungan tersebut,” kata MCMC.
Tambah MCMC, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
MCMC turut menegaskan bahawa kandungan yang disebarkan itu dikhuatiri boleh mencetuskan kekeliruan awam serta mengganggu kelancaran siasatan pihak berkuasa.
Suruhanjaya itu mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan kandungan spekulatif dan memberi ruang kepada proses siasatan yang sedang berjalan.
“Penyebaran berita yang tidak disahkan bukan sahaja boleh menyinggung perasaan keluarga mangsa, malah bercanggah dengan nilai etika serta mengganggu proses keadilan,” kata MCMC. – KOSMO! ONLINE