fbpx
MUHD. ALIF NAJMI bersama Amizaliana memilih pakaian sebagai kelengkapan untuk ke IPG Kampus Temenggong Ibrahim, Johor Bahru, Johor.

‘Yuran selesai, kelengkapan semua sudah beli selepas keluar KOSMO!’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAUB – “Rasa terharu sebab ramai orang yang baik hati. Kini saya dapat menarik nafas lega.”

Demikian luahan pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Muhd. Alif Najmi Muhd. Nor Faizal, 20, yang kini sedang giat membuat persiapan untuk mendaftar masuk ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Temenggong Ibrahim, Johor Bahru, Johor pada 11 Ogos ini.

Pelajar dari Felda Tersang 2, di sini itu tidak dapat menyembunyikan keterujaan apabila dapat membeli semua kelengkapan diperlukan hasil sumbangan pelbagai pihak yang prihatin.

“Sebahagian besar penderma tersebut terdiri daripada pesara guru yang pernah melalui pengalaman sama. Salah seorang pesara guru itu berkongsi kisah beliau pernah berada dalam situasi saya 40 tahun lalu.

“Waktu itu beliau kekurangan wang untuk sambung belajar dan tidak ada bantuan seperti sekarang. Jadi beliau faham sangat keadaan saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Ujarnya, selain menerima sumbangan tunai, ada juga individu yang menyalurkan bantuan dalam bentuk zakat, bagi membolehkannya membayar yuran serta membeli barang keperluan.

“Alhamdulillah, yuran pendaftaran sudah selesai dan semua kelengkapan telah siap dibeli. Terima kasih kepada semua penderma. Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan menjadi pendidik yang berdedikasi suatu hari nanti,” katanya.

Ibunya, Amizaliana Baharom, 41, turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Kamil Ibrahim.

“Dengan bantuan ini, dapatlah kami membeli semua kelengkapan dan menampung Alif semasa hari pendaftaran nanti. Kami sekeluarga amat berterima kasih,” katanya.

Khamis lalu, Kosmo! me­laporkan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah mengarahkan IPG agar membantu segera Muhd. Alif Najmi untuk melanjutkan pengajian. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI