fbpx
SETIAP pengguna jalan raya perlu lebih bertanggungjawab dan bertolak ansur demi keselamatan semua. - GAMBAR HIASAN

Jangan suka-suka bunyikan hon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ADA bermacam hal menjengkelkan yang sering berlaku ketika kita berada di atas jalan raya. Sama ada ia hal remeh ataupun perlakuan biadap, semuanya sudah menjadi ‘budaya’ bagi orang kita.

Malangnya tanpa kita sedar, perangai dan tabiat buruk itu sering kali membuat pemandu lain naik darah dan hilang sabar. Lebih teruk lagi, ada yang hilang nyawa angkara ‘kebodohan’ orang lain.

Tabiat seperti potong barisan ketika jalan sesak, guna lampu tinggi tanpa tujuan, parkir sesuka hati, bawa perlahan di lorong kanan, buang sampah dari tingkap kenderaan dan tidak memberi ‘signal’ adalah antara hal menjengkelkan yang perlu pemandu Malaysia hadapi setiap hari.

Satu lagi hal yang perlu diberi perhatian adalah tabiat membunyikan hon tanpa sebab. Tabiat ini mungkin nampak biasa, tetapi boleh mencetuskan pergaduhan dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Kebiasaannya, hon digunakan untuk memberi isyarat keselamatan atau amaran ketika berada dalam situasi cemas. Namun, ramai pemandu dikesan menyalahgunakannya untuk meluahkan rasa marah, tidak puas hati atau mendesak kenderaan di hadapan bergerak lebih cepat.

Secara psikologinya, tindakan membunyikan hon secara agresif boleh mencetuskan ketegangan emosi, khususnya ketika kesesakan atau cuaca panas yang menambah tekanan.

Tekanan ini kemudian boleh mengundang konflik yang akhirnya mencetuskan provokasi dan pergaduhan fizikal. Biasanya, kes seperti ini melibatkan individu yang panas baran ataupun berpengaruh.

Sebagai contoh, beberapa kes pergaduhan antara pemandu pernah dilaporkan berpunca daripada isu kecil seperti hon dibunyikan terlalu lama atau tidak kena pada tempatnya.

Walaupun niat membunyikan hon itu baik dan sebagai teguran, bagi sesetengah orang ia sukar untuk diterima.

Hakikatnya, dalam era di mana segalanya mudah dirakam dan disebarkan di media sosial, pergaduhan jalan raya bukan sahaja menjejaskan reputasi dan menimbulkan rasa malu, tetapi boleh dikenakan hukuman.

Di Britain, pemandu yang membunyikan hon dengan cuai semasa berada dalam kesesakan lalu lintas boleh didenda sehingga RM161. Jika melakukannya secara berterusan, mereka akan dikenakan denda sehingga RM5,367.

Di Malaysia pula, trend menggunakan hon ‘tenonet’ terutama bagi kenderaan berat turun menjadi perbahasan. Ada yang suka, tetapi lebih ramai yang menyampah. Alasan mereka, bunyi hon ‘tenonet’ boleh mengelirukan pengguna jalan raya lain tentang isyarat yang ingin disampaikan.

Selain itu, bunyi tersebut juga boleh mengganggu ketenteraman awam terutamanya di kawasan perumahan.

Mengikut Seksyen 119(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, memasang dan menggunakan hon ‘tenonet’ adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan termasuklah denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan.

Secara logiknya, tidak salah untuk menggunakan hon jika perlu, namun penggunaan hon yang berlebihan dan tidak beretika bukan sahaja boleh mencetuskan kemarahan, malah mewujudkan suasana jalan raya yang tidak harmoni.

Beringatlah, hon bukan alat untuk menunjukkan kemarahan, jangan suka-suka tekan kerana silap langkah, nyawa boleh melayang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN