fbpx
PARA peserta konvoi bergambar kenangan di depan kilang Ducati di Rayong.

Konvoi DOCM ke kilang Ducati Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PATTAYA, Thailand menjadi destinasi konvoi buat julung kali anjuran Ducati Owners Club Malaysia (DOCM) yang berlangsung selama enam hari bermula 25 Jun hingga 30 Jun lalu.

Konvoi yang disertai hampir 100 pemilik motosikal Ducati dari seluruh negara itu turut melibatkan lawatan istimewa ke kilang Ducati di Rayong.

Kilang tersebut merupakan satu-satunya fasiliti pengeluaran Ducati di benua Asia, sekali gus menjadikan konvoi tersebut sangat bermakna bagi para peserta.

Menurut Naib Presiden DOCM, Abdul Rashyad Afham Firus, idea konvoi tercetus hasil pertemuan dengan Ducati Asia Pasifik semasa MotoGP Malaysia pada Oktober tahun lalu.

“Susulan jemputan rasmi yang diberikan oleh Pengurus Besar Ducati Asia Pasifik, kami melakukan perancangan awal konvoi sejak Februari lalu.

“Konvoi ini disertai oleh pelbagai jenis motosikal Ducati termasuk model Panigale, Multistrada, Monster, Streetfighter dan Diavel,” katanya kepada CitaRasa.

Menariknya, para peserta konvoi dibahagikan kepada tiga kumpulan. Setiap kumpulan melalui laluan berbeza mengikut lokasi keberangkatan masing-masing, sebelum berkumpul di Pattaya sebagai tempat pertemuan utama.

Kumpulan pertama bergerak dari Kuala Lumpur dan memasuki Thailand melalui sempadan Bukit Kayu Hitam di Kedah.

Manakala kumpulan kedua melalui Wang Kelian di Perlis dan kumpulan ketiga masuk ke Thailand menerusi Bukit Berapit, Perak bagi peserta dari Pantai Timur.

Bagi peserta dari Kuala Lumpur, mereka berpeluang menunggang secara santai sejauh kira-kira 1,700 kilometer.

Perjalanan ke Pattaya mengambil masa dua hari, termasuk satu malam singgah di Rayong.

Konvoi dikawal rapi oleh marshal yang terdiri daripada ahli kelab sendiri.

Setiap seorang marshal dihadkan untuk menjaga sekitar 20 buah motosikal.

HAMPIR 100 ahli kelab DOCM menyertai konvoi ke Pattaya, Thailand baru-baru ini.

Beberapa perhentian berkala turut dilakukan di setiap 150 kilometer untuk pengisian minyak, rehat dan solat.

Kongsi Abdul Rashyad Afham, setibanya di Rayong, para peserta berpeluang menyertai lawatan ke kilang Ducati yang diatur khas oleh pihak Ducati Asia Pasifik.

“Lawatan ini membuka peluang kepada ahli kelab untuk melihat secara langsung proses penghasilan motosikal Ducati dari peringkat awal sehingga siap sepenuhnya.

“DOCM turut mencipta rekod sebagai kelab Ducati yang hadir dengan jumlah peserta paling ramai ke kilang berkenaan,” katanya.

Majlis makan malam rasmi turut diadakan di Bikers Cafe, Pattaya bagi mengeratkan hubungan antara ahli kelab.

Acara berkenaan turut disertai oleh kelab Ducati dari Thailand, sekali gus dapat mengukuhkan jalinan antara komuniti pemilik jenama motosikal dari Itali itu.

Selain aktiviti rasmi, sesetengah peserta meneruskan perjalanan ke beberapa destinasi lain seperti Bangkok dan Chiang Mai, termasuk menempuh laluan terkenal ‘Thousand Corners’.

Walaupun keseluruhan perjalanan melibatkan jarak yang panjang, cuaca panas dan lalu lintas mencabar, namun para peserta berjaya mengharunginya tanpa sebarang insiden besar.

Ada beberapa motosikal mengalami masalah kecil, namun berjaya dibaiki dengan alat ganti dan peralatan yang dibawa.

“Konvoi kali ini berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang telah kami sasarkan.

“Melihat kepada sambutan yang memberangsangkan, DOCM mempertimbangkan untuk menjadikan konvoi ke Pattaya sebagai acara tahunan dalam kalendar kelab,” katanya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN