ALOR SETAR – Himpunan ‘Honggaq’ Kedah yang dijadualkan berlangsung pada 24 Ogos ini diadakan untuk mendesak kerajaan negeri menyelesaikan isu-isu berkaitan kepentingan rakyat.
Dalam himpunan tersebut, satu memorandum yang mengandungi 10 isu utama akan diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Pengarah Sekretariat Suara Anak Kedah, Sulaiman Ibrahim berkata, himpunan itu dianjurkan tanpa penglibatan mana-mana parti politik.
“Kami yang tidak memegang sebarang jawatan politik berhak untuk menegur dan mendesak kerajaan negeri terutama Muhammad Sanusi untuk menyelesaikan masalah rakyat, 10 isu utama itu akan diumumkan pada hari himpunan ketika memorandum diserahkan.
“Kami tidak boleh dedahkan isu itu sekarang kerana mahu elak permainan politik. Namun, saya boleh beri bayangan bahawa sekurang-kurangnya dua isu melibatkan cadangan supaya diadakan siasatan bebas termasuk campur tangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Berhubung dakwaan bahawa himpunan itu bertujuan mendesak Muhammad Sanusi supaya berundur, Sulaiman menafikannya dan menegaskan bahawa himpunan itu hanya untuk menuntut kerajaan negeri menunaikan janji serta menyelesaikan masalah rakyat sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Banyak video di media sosial yang kata himpunan ini nak suruh Sanusi turun. Itu hak masing-masing tapi kami bukan mahu dia berundur dulu tetapi mahu beliau selesaikan isu yang dijanjikan kepada rakyat. Jika gagal, biarlah rakyat menilai pada PRU16 nanti.
“Sekurang-kurangnya dua tahun setengah sebelum PRU16, mereka kena tunai janji yang dibuat kerana kebanyakan isu yang dihebahkan dalam media sosial tidak ada kena mengena dengan isu yang kami nak bawa pada himpunan ini,” ujarnya.
Mengulas mengenai signifikan tentang pemilihan nama ‘honggaq’, Sulaiman menjelaskan bahawa ia merujuk kepada istilah dialek Kedah yang bermaksud ‘menggoncang’.
“Kita bukan nak mencabut (kerajaan), tetapi nak menggoncang dengan cara yang betul supaya kerajaan sedar dan ambil tindakan segera. Ini teguran terhadap pentadbiran, bukan serangan peribadi terhadap Menteri Besar,” jelasnya.
Dia turut mengingatkan semua peserta himpunan agar mematuhi undang-undang, tidak membawa sebarang barang berbahaya serta tidak membawa kanak-kanak ke lokasi perhimpunan di hadapan Wisma Darul Aman itu nanti. – KOSMO! ONLINE