SAUDARA PENGARANG,
Umum mengetahui lampu brek ketiga antara komponen paling penting dalam sesebuah kenderaan. Ketiadaan lampu brek mampu mengundang kepada kemalangan, lebih-lebih lagi apabila pemandu kenderaan belakang laju.
Lampu brek ketiga ialah ciri keselamatan wajib bagi meningkatkan penglihatan terutamanya pada waktu malam atau hujan. Ia sekali gus memberi amaran lebih jelas kepada pemandu di belakang bahawa anda sedang memperlahankan kenderaan.
Tahukah anda kegagalan memastikan ia berfungsi boleh menyebabkan pemandu didenda sehingga RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.
Bagaimanapun, ada antara pemandu yang mengambil ringan isu ini, bagi mereka lampu brek yang lain ada jadi tidak mengapa jika yang ketiga tidak ‘hidup’.
Lebih menyedihkan apabila mereka menyalahkan pemandu kenderaan di belakang yang seolah-olah tidak tidak berwaspada atau ‘alert’. Kalau sudah laju dan tidak sempat untuk brek maka berlanggarlah jawabnya.
Pernah juga beberapa kali penulis melihat pemandu terpaksa memberhentikan kenderaan secara mengejut apabila kenderaan di hadapan secara tiba-tiba perlahan dan lampu brek ketiga tiada.
Janganlah pentingkan diri dan sentiasa ingat perkara ini boleh terjadi kepada anda juga.
PAK ABU
Melaka














