fbpx
Rasulullah mengambil berat yang tidak terhingga terhadap solat sunat fajar serta mengingatkan umatnya agar tidak meninggalkan solat dua rakaat yang nilainya lebih mahal daripada dunia dan segala isinya ini sekalipun ketika dikejar musuh.- GAMBAR HIASAN

Dua rakaat yang dicintai Rasulullah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BULAN Ramadan lazim dianggap sebagai bulan ibadah. Bukan hanya kerana dipenuhi pelbagai amalan ibadah seperti berpuasa, solat tarawih dan tadarus, tetapi bulan ini juga secara ‘nature’ memberi ‘ruang’ untuk kita melakukan amalan yang sebelum ini sukar dibuat.

Selepas bersahur, jangan kita terus tidur, tunggulah azan subuh dan ambillah peluang untuk menunaikan solat sunat fajar atau solat sunat qabliyah subuh. Itulah solat dua rakaat yang sangat dijaga Rasulullah serta ganjarannya lebih besar daripada dunia dan segala isinya.

Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Tidak pernah dilihat Nabi SAW begitu mengambil berat berkaitan solat-solat sunat sebagaimana Baginda SAW mengambil berat tentang dua rakaat fajar.” (Riwayat al-Bukhari)

Daripada Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Dua rakaat fajar adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (Riwayat Muslim)

Bahkan terdapat hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: “Janganlah kamu tinggalkan solat sunat dua rakaat sebelum solat subuh, sekalipun kamu dikejar oleh kuda (walaupun kamu dikejar oleh musuh).” Hadis ini direkodkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Baihaqi dan at-Tahawi.

Solat sunat fajar atau sunat qabliyah subuh adalah solat sunat dua rakaat yang dilakukan selepas masuk waktu subuh sebelum menunaikan solat fardu subuh. Ia paling afdal dilakukan selepas azan subuh.

Di luar bulan Ramadan, kita tidak dikurniakan amalan sahur menyebabkan solat sunat ini terasa sukar dijangkau melainkan jika kita memang jenis yang bangun menjelang waktu subuh, tetapi pada bulan Ramadan ibadah ini ‘terhidang’ untuk kita lakukan sementelah tidak lama selepas imsak. Mungkin itulah juga mengapa waktu sahur itu disifatkan waktu yang berkat.

Dunia ini sudah terlalu banyak nikmatnya, tetapi bila ada suatu yang lebih baik daripada dunia dan segala isinya, sudah tentu itu terlalu besar dan istimewa. Tidakkah rugi jika kita meninggalkannya pada kesempatan yang ada?

Tidak guna kita mencemburui segala nikmat dunia yang dikurniakan kepada orang lain sedangkan kita ada suatu yang lebih besar daripada itu yang Tuhan tawarkan setiap hari.

Bahkan, solat sunat fajar ini dilihat cukup penting sehingga dibolehkan qada’ selepas solat subuh atau selepas matahari terbit apabila Rasulullah hanya berdiam kala seorang sahabat memberitahu dia menunaikan solat sunat subuh selepas solat fardu subuh kerana tidak sempat.

Memang dua rakaat ini nampak ringkas dan mudah, tetapi cabarannya paling besar dan berat. Waktu fajar terbit itulah tilam yang empuk, suhu yang dingin, waktu yang gelap dan tidur yang nyenyak menguji keimanan.

Jika lailatulqadar yang lebih baik daripada seribu bulan kita tercari-cari malamnya yang tersembunyi, mengapa perlu kita mempersiakan ganjaran lebih baik daripada seisi dunia tidak kurang juga istimewanya ini yang memang sedia ‘terhidang’ setiap pagi? -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN