PENGGUNAAN rokok elektronik atau vape dalam kalangan belia khususnya remaja berstatus pelajar sekolah menjadi perkara serius yang boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024).
Biarpun larangan dan langkah agresif telah dilakukan oleh kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT), namun masih terdapat golongan yang sepertinya ‘tidak faham bahasa’ dan tetap terlibat dengan perkara itu.
Bahkan kebimbangan terhadap penglibatan remaja dalam budaya vape apabila data Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 (khususnya tinjauan kesihatan sekolah) menunjukkan peningkatan drastik berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Berdasarkan laporan dikeluarkan Kementerian Kesihatan, penggunaan rokok elektronik dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun meningkat daripada 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus pada 2022.
Laporan sama menunjukkan kira-kira 307,109 remaja di negara ini adalah pengguna aktif rokok elektronik.
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bioperubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Seri Narti Edayu Sarchio, golongan remaja lebih mudah terpengaruh untuk mencuba rokok elektronik kerana ‘disogok’ dengan pandangan kononnya menjadi gaya hidup masa kini.
Katanya, pengaruh media sosial, kandungan hiburan dan internet juga secara tidak langsung telah membentuk ideologi dalam kalangan mereka untuk terjebak dengan budaya sebegitu.
“Remaja dilihat lebih mudah terpengaruh untuk mencuba rokok elektronik kerana beberapa perkara dan antaranya seperti gaya hidup moden, imej dan media sosial.
“Produk ini juga hadir dalam pelbagai reka bentuk menarik disertai dengan variasi perisa seperti buah-buahan, pudina.
“Stigma kandungan nikotin kurang daripada rokok sebenar juga secara tidak langsung menarik perhatian pengguna muda untuk terlibat,” katanya.
Bagaimanapun, realitinya rokok elektronik mempunyai nikotin yang diketahui boleh menyebabkan ketagihan dan situasi ini menyebabkan masalah kesihatan serius berkaitan paru-paru dan jantung.
“Selain ketagihan nikotin, terdapat kebimbangan terhadap status kandungan dalam cecair rokok elektronik dikhuatiri akan menyebabkan masalah kerosakan saraf, ketagihan dan mampu mengakibatkan kematian.
“Gejala seperti sesak nafas, batuk dan sakit dada antara tanda awal yang mampu mendorong kepada situasi lebih serius,” ujarnya.
Katanya, tindakan larangan penjualan dan penggunaan rokok elektronik bukan sahaja mampu melindungi generasi muda daripada terjerumus ke kancah ketagihan nikotin, tetapi perkara tersebut boleh diibaratkan seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya.
“Langkah (larangan) ini selari dengan usaha kerajaan yang ingin melahirkan masyarakat bebas nikotin pada masa hadapan tidak mengira sama ada rokok atau rokok elektronik.
“Demi mencapai cita-cita itu, penguatkuasaan tegas termasuk masyarakat, ibu bapa, institusi pendidikan, badan bukan kerajaan perlu dalam mengatasi perkara itu,” katanya. -KOSMO! ONLINE















