KETIKA rakan-rakan lain memilih melanjutkan pengajian selepas tamat alam persekolahan, namun tidak bagi Paan (bukan nama sebanar).
Setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia dan isterinya dipaksa berkahwin oleh keluarga.
“Saya dan isteri mengenali antara satu sama lain ketika zaman persekolahan lagi.
“Tidak dinafikan, kami berdua agak ‘liar’ dan sering keluar merempit pada sebelah malam dan banyak lagi perkara negatif yang kami lakukan,” katanya sambil mengimbau kembali zaman remajanya.
Dia yang kini berusia pertengahan 30-an berkata, disebabkan cinta, dia dan isterinya memilih untuk berkahwin meskipun masing-masing masih muda.
Semua perbelanjaan perkahwinan mereka diuruskan oleh keluarga masing-masing.
Selepas berkahwin, mereka memilih bekerja di kampung dan tinggal menumpang di rumah orang tua Paan di Kedah.
Setahun setelah berkahwin, isteri Paan menyatakan keinginan untuk bekerja kilang di Pulau Pinang kerana mahu mencari pendapatan lebih.
“Saya membenarkan isteri pergi kerja di Pulau Pinang, sementara saya memilih untuk bekerja di kampung.
“Isteri saya tinggal bersama rakan-rakannya di rumah sewa memandangkan jarak rumah kami dengan kilang lebih 100 kilometer sehala,” ujarnya.
Pada hujung minggu, Paan akan ke Pulau Pinang untuk bertemu isterinya.
Ada ketikanya, isterinya akan pulang ke kampung halaman berjumpa dengan Paan dan keluarga. Pada enam bulan pertama, semuanya baik-baik sahaja.
Namun tidak lama selepas itu, Paan mendapat tahu bahawa isterinya ada menjalin hubungan dengan lelaki lain.
Paan mengetahui hal itu setelah salah seorang rakannya ternampak isterinya keluar bersama lelaki lain dengan membonceng motosikal sambil berpelukan.
“Sebenarnya saya ada kawan bekerja di Pulau Pinang, dia yang memberitahu hal tersebut.
“Saya juga ada bertanya hal tersebut kepada isteri, tetapi dia tidak mengaku berlaku curang di belakang saya,” terangnya.
Tambahnya, disebabkan hal tersebut, Paan dan isterinya sering bergaduh.
Malah, Paan memberitahu, isterinya bersama kawan-kawan serumahnya yang masih bujang sering keluar beramai-ramai bersama lelaki dengan motosikal.
Dengan bantuan kawannya, Paan mengatur satu pelan untuk memerangkap isterinya.
Pada suatu hari, Paan memberitahu isterinya bahawa dia tidak dapat ke Pulau Pinang untuk bertemu kerana ada hal yang perlu diselesaikan di kampung.
Dalam diam, Paan pergi ke Pulau Pinang tanpa pengetahuan isterinya.
Akhirnya, Paan dapat melihat sendiri kelibat isterinya keluar bersama lelaki lain dengan menaiki motosikal.
“Salah seorang wanita yang menyewa bersama isteri saya adalah kenalan kepada rakan saya.
“Dia yang memberitahu saya bila isteri keluar dengan rakan lelakinya itu. Kemudian, saya mencari isteri di tempat yang dia selalu lepak bersama lelaki tersebut,” jelasnya.
Ketika pencarian itu, Paan ternampak kelibat isterinya sedang duduk berdua-duaan dengan seorang lelaki di tepi pantai sambil berpelukan.
“Isteri saya amat terkejut apabila saya berdiri di hadapannya.
“Berlaku sedikit pergaduhan antara saya dengan lelaki itu, namun isteri saya cuba membela lelaki tersebut.
“Saya dan isteri bergaduh di situ. Dia mengaku bahawa lelaki itu adalah teman sekerja di kilang merangkap teman lelakinya.
“Disebabkan itu, dia (isteri) meminta saya untuk menceraikannya kerana ingin hidup bersama lelaki berkenaan,” katanya.
Perasaan marah yang membuak-buak telah menyebabkan Paan hilang pertimbangan sehingga menjatuhkan talak kepada isterinya.
Mereka akhirnya sah berpisah di sebuah Mahkamah Syariah di Kedah selepas hampir 18 bulan berkahwin.
Beberapa tahun selepas itu, Paan bertemu dengan wanita lain pada usia lebih matang, sebelum memilih untuk mendirikan rumah tangga.
Sehingga kini, perkahwinan mereka masih bertahan dan dia dikurniakan dua cahaya mata.















