PETALING JAYA – Bulan Ogos 2025 yang bermula hari ini menjadi detik penting apabila kerajaan menguatkuasakan pelbagai inisiatif dan langkah jangka panjang dengan tumpuan utama adalah mengenai kebajikan rakyat dan mengukuhkan ekonomi secara keseluruhannya.
Antara langkah paling mencuri tumpuan ialah pelaksanaan penuh Perintah Gaji Minimum (PGM) yang menetapkan kadar gaji minimum sebanyak RM1,700 sebulan untuk semua pekerja tanpa pengecualian.
Langkah ini termasuk melibatkan majikan yang menggaji kurang daripada lima pekerja yang sebelum ini diberi tempoh penangguhan sehingga 31 Julai.
Menurut kerajaan, langkah ini bukan sekadar peningkatan angka semata-mata, tetapi mewakili komitmen terhadap keadilan sosial dan pengukuhan kuasa beli rakyat.
Pelaksanaan ini dijangka memberi suntikan positif kepada golongan pekerja berpendapatan rendah, walaupun ada pihak menyuarakan kebimbangan, terutamanya daripada kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mungkin belum bersedia untuk menampung beban kos tambahan.
Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh berkata, pelaksanaan penuh gaji minimum RM1,700 yang bermula hari ini adalah penting untuk sesebuah negara menjadi negara berpendapatan tinggi.
“Bagaimanapun, ia perlu mengambil kira perusahaan agak baharu terutama PKS yang mungkin tak dapat menampung dengan kemahiran kerja (pekerja) yang minimum.
“Tidak semua akan berkemampuan ke arah sedemikian walaupun ia perkara yang baik,” katanya.
Dalam pada itu, bulan Ogos turut menyaksikan berita baik buat 22 juta warganegara berumur 18 tahun ke atas apabila kerajaan mengumumkan bantuan khas tunai ‘one-off’ RM100 bersempena sambutan Hari Kebangsaan bermula 31 Ogos 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM2 bilion dan boleh digunakan sehingga 31 Disember 2025 di lebih 4,100 kedai seluruh negara termasuk pasar raya besar seperti Mydin, Lotus, Econsave dan 99 Speedmart.
“Nilainya mungkin kecil bagi sesetengah pihak, tetapi besar maknanya bagi mereka yang bergelut dengan kos sara hidup,” kata Anwar.
Mulai 1 Ogos juga, Terengganu dan Perlis akan mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape menjadikan kedua-duanya menyertai Kelantan, Johor dan Kedah dalam usaha membanteras budaya rokok elektronik dalam kalangan rakyat.
Langkah ini dilihat sebagai tindakan tegas demi kesihatan awam, khususnya dalam melindungi golongan muda daripada tabiat merokok moden yang kini semakin menular.
Dalam langkah penyelarasan subsidi, kerajaan turut memutuskan untuk menamatkan subsidi telur ayam mulai tarikh sama.
Langkah ini diambil bagi mengelakkan ketirisan kerana subsidi turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Satu lagi inisiatif besar ialah pelancaran Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula 1 Ogos.
Operasi ini menyasarkan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) secara menyeluruh dan melibatkan kerjasama pelbagai agensi.
Selain memfokus kepada perokok lelaki, operasi ini juga bertujuan melindungi wanita dan kanak-kanak daripada kesan asap rokok di tempat awam.














