Isu beberapa taska di Selangor mahu memboikot penjagaan bayi di bawah usia dua tahun kerana peraturan ketat yang ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat reaksi pelbagai daripada ibu bapa.
Ketika ini peraturan yang perlu dipatuhi pengusaha taska adalah seorang pengasuh untuk tiga kanak-kanak di bawah satu tahun dan satu nisbah lima (seorang pengasuh bagi lima kanak-kanak berumur satu hingga tiga tahun).
Bagi kanak-kanak berumur tiga hingga empat tahun pula, ditetapkan seorang pengasuh bagi 10 kanak-kanak.
Di satu pihak, kita akui pentingnya garis panduan ketat demi keselamatan anak-anak. Namun di satu pihak lagi, kita perlu bertanya, adakah pelaksanaan dan pendekatan itu praktikal?
Ramai pengusaha taska mengeluh bahawa peraturan yang dikenakan, termasuk nisbah pengasuh kepada bayi dan kelayakan pengasuh, terlalu membebankan. Tambahan pula, kos pengurusan meningkat, tetapi yuran tidak boleh dinaikkan sesuka hati kerana majoriti ibu bapa tidak mampu.
Isu ini bukan sekadar tentang taska dan JKM. Ia adalah soal tanggungjawab bersama bagaimana kita sebagai masyarakat, kerajaan dan ibu bapa menyokong sistem penjagaan awal kanak-kanak yang berkualiti dan selamat.
Bayi bawah dua tahun memerlukan perhatian penuh dan sememangnya wajar JKM mengetatkan peraturan seperti nisbah satu pengasuh kepada tiga bayi. Tapi realitinya, bukan mudah untuk mencari pengasuh terlatih yang sanggup bekerja dengan gaji rendah sekitar RM1,700 sebulan ditambah tekanan melayan bayi yang ramai.
Apabila taska mahu memboikot penjagaan bayi, kesannya paling dirasai oleh ibu bapa yang bekerja. Mereka kini tersepit antara keperluan mencari rezeki dan tanggungjawab menjaga anak kecil yang tiada tempat dijaga.
Bagi sesetengah keluarga, pilihan paling praktikal ialah menghantar anak ke kampung untuk dijaga oleh ibu bapa mereka sendiri atau memanggil nenek untuk tinggal bersama cucu di bandar.
Lebih membimbangkan, ada ibu yang mungkin terpaksa berhenti kerja kerana tiada pilihan lain. Situasi ini bukan sahaja menjejaskan pendapatan keluarga, malah memberi kesan kepada ekonomi negara secara makro, terutama jika melibatkan wanita profesional atau pekerja terlatih.
Kos penjagaan bayi yang tinggi turut menjadi beban besar, terdapat taska mengenakan yuran sehingga RM1,700 sebulan bagi seorang bayi untuk mengikut peraturan JKM. Ini jumlah yang hampir menyamai gaji minima, malah lebih tinggi daripada bayaran pinjaman rumah kebanyakan keluarga muda.
Apa yang lebih membimbangkan, jika lebih banyak taska enggan menjaga bayi, ibu bapa tiada pilihan lain. Ramai pasangan muda memilih untuk tidak mempunyai anak.
Selain itu akan muncul pula pusat penjagaan tidak berdaftar yang lebih murah, tetapi tiada pemantauan. Kita kembali kepada masalah lama, keselamatan anak-anak dipertaruhkan.
Taska bukan tempat meletak anak semata-mata. Ia ruang awal membentuk perkembangan emosi dan sosial mereka. Bila pengusaha menyerah kalah, siapa yang akan teruskan tanggungjawab itu? Kita perlukan sistem penjagaan bayi yang selamat dan adil untuk semua pihak.















