fbpx
Noorlaili dan suaminya, Mohd. Hassan menunjukkan gambar anak mereka yang hilang sejak 8 Mei lalu.

Polis datang rumah ambil sampel rambut – Ibu Maisarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Ibu Nor Alieya Maisarah Mohd. Hassan, 14, remaja yang hilang dari Taman Seri Telok Mas di sini sejak 8 Mei lalu yakin anaknya mahu pulang ke rumah tetapi dihalang individu tertentu.

Menurut Noorlaili Mahat, 53, nalurinya sebagai ibu kuat mengatakan anak bongsu daripada tiga beradik itu tidak ditimpa kemalangan atau perkara tidak diingini tetapi menghilangkan diri kerana mendengar kata pihak ketiga.

Katanya, sehingga kini dia dan suaminya, Mohd. Hassan Elias, 52, masih tidak berputus asa mencari Maisarah termasuk di rumah ibu saudaranya di Seremban.

“Saya rasa adik (Maisarah) nak balik, tapi ada orang halang, dia memang ada (hidup) lagi, saya percaya. Sehingga kini kami masih mencarinya, namun tiada sebarang petunjuk.

“Kawan-kawannya juga tidak tahu akan keberadaan adik,“katanya ketika dihubungi semalam.

Noorlaili memberitahu, setakat ini pihak polis belum memaklumkan perkembangan positif mengenai anaknya.

“Dua minggu lalu, polis datang ke rumah ambil sampel rambut, sikat dan baju adik untuk tujuan ujian asid deoksiribonukleik (DNA). Polis beritahu mereka masih kesan dan tidak tahu keberadaannya,” katanya.

Tambahnya, dia yakin anaknya tidak mempunyai teman lelaki dan berkemungkinan hilang sebab merajuk kerana pernah dimarahi selepas remaja itu tidak mahu bersekolah.

Kosmo! pada 25 Jun lalu melaporkan seorang remaaj berusia 14 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Taman Seri Telok Emas dengan membawa beg sekolah dan beberapa helai pakaian.

Kali terakhir ibunya berjumpa mangsa pada pukul 4 petang hari sama sebelum keluar bekerja di sebuah restoran ikan bakar. Kakak mangsa kemudian memaklumkan adiknya tiada di rumah selain telefon bimbitnya gagal dihubungi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Maisarah diminta menghubungi Noorlaili di talian 014-3818326.

Habis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN