SENI pastri moden dengan cita rasa klasik, itulah janji yang dibawa oleh Orito, sebuah kedai pastri yang kian mendapat tempat di hati pencinta manisan tempatan.
Di sebalik setiap sajian pastri rapuhnya yang membuka selera, ada Justin Tang, pengasas Orito yang menghasilkan setiap hidangan dengan penuh kreatif.
Berkongsi dengan CitaRasa dalam satu majlis pelancaran seleksi pastri baharu di Orito cawangan TTDI, Kuala Lumpur, Tang memberitahu Orito dibuka pada tahun 2020, di tengah pandemik Covid-19.
“Ketika itu, saya memulakan perniagaan bersama seorang staf sahaja. Kami berdua bertanggungjawab mengembangkan resipi dan menu produk kedai ini.
“Kini, kami sudah mempunyai satu pasukan seramai kira-kira tujuh orang dan 30 jenis pastri yang boleh dicuba pelanggan,” katanya.
Siapa sangka, Tang yang begitu hebat di dapur sebenarnya merupakan lulusan bidang kejuruteraan kimia, sebelum menemui minat sebenarnya dalam bidang kulinari.
Minat itu membawanya ke Paris, dan Tang memperoleh Grand Diplôme yang berprestij dalam masakan dan pastri Perancis dari Le Cordon Bleu.

Mengulas tentang seleksi menu, Tang memberitahu menu signatur dan wajib cuba di Orito adalah Paris Brest iaitu choux pastry dengan inti krim kacang hazel praline dan kacang hazel panggang.
Minimalisme merupakan salah satu nilai teras Orito dan tiada yang lebih jelas mencerminkan prinsip ini selain pastri ikonik mereka, Paris Brest.
Dicipta pada tahun 1910 oleh pembuat pastri terkenal dari Maisons-Laffitte, Louis Durand, bentuk bulat pastri ini melambangkan roda, sebagai penghormatan kepada perlumbaan basikal Paris-Brest-Paris yang menjadi inspirasi kepada namanya.
“Ia merupakan pastri klasik dari Perancis.
“Secara asasnya, ia boleh didapati hampir di setiap boulangerie atau patisserie di Perancis. Biarpun ringkas, namun ia sangat lazat.

“Ini merupakan menu kegemaran saya sendiri secara peribadi, bahkan menu ini jugalah yang telah membantu mempopularkan kami.
“Apabila bercakap tentang Orito, orang akan terus membayangkan choux pastry, dan juga seleksi donut yang juga menjadi menu kegemaran ramai,” katanya.
Orito menawarkan pelbagai pilihan pastri antaranya Choco-Caramel Choux, Chocolate Hazelnut Babka, Canele, Financier, Apple Turnover, Almond Croissant dan donut pelbagai perisa seperti cutard, coklat gelap, beri campuran dan Nutella D.
Lebih menarik, premis itu terkenal dengan falsafah tidak akan sesekali memanaskan semula mana-mana pastri, memandangkan ia disediakan secara segar setiap hari.
Ujar Tang, harga pastri bermula daripada RM9 sehingga RM32.














