PETALING JAYA – Ramai anak muda kini memilih untuk memperlahankan rentak hidup mereka dengan beralih daripada gaya hidup berorientasikan kerjaya serta kemewahan kepada kehidupan yang lebih sederhana dan bermakna.
Dalam dunia yang makin laju dan kompetitif, trend downshifting menjadi bentuk penolakan terhadap tekanan budaya ‘hustle’ dan kapitalisme moden.
Faktor utama yang mendorong fenomena ini termasuk keletihan kerja (burnout), kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar, serta nilai hidup yang berubah akibat pengalaman hidup dalam krisis seperti pandemik Covid-19.
Menurut seorang pekerja swasta, Wahida Kamal, 36, dia mengambil keputusan berani apabila tekad berpindah ke rumah sewa yang lebih murah iaitu sekitar RM1,000 sebulan di Bukit Jalil berbanding RM1,200 sebelumnya.
“Bukan tidak mampu bayar, tapi kami ubah cara hidup untuk tambah simpanan masa depan. Kami kekal menyewa di Bukit Jalil sebab dekat dengan tempat kerja,” katanya.
Selain itu, Wahida juga memilih untuk menggunakan pengangkutan awam iaitu LRT untuk ke tempat kerja, sekali gus mengurangkan kos minyak dan tol bulanan daripada RM200 kepada hanya RM50.
“Bukan saja lebih jimat, tapi kurang tertekan dengan kesesakan jalan raya,” katanya yang mengakui perubahan gaya hidup itu mampu menjimatkan hampir 70 peratus kos bulanan keluarga.
Sementara itu, seorang pegawai bank, Sayuti Abdul Ghazal, 45, pula mengakui dia dan keluarganya turut mengambil pendekatan sama apabila berpindah dari kondominium di tengah bandar Shah Alam ke rumah teres yang lebih murah di pinggir bandar Hulu Langat.
“Kami mahu kehidupan yang lebih bebas dari tekanan kewangan. Sekarang, bayaran bulanan jauh lebih rendah,” jelasnya.
Sayuti turut menjual salah satu kereta miliknya iaitu sebuah Proton Exora atas alasan kenderaan tersebut jarang digunakan.
Menurutnya, dia dan isteri kini hanya menggunakan dua kenderaan untuk berulang-alik ke tempat kerja.
Dalam pada itu, trend ‘downshifting’ turut dipraktikkan kalangan orang muda yang rata-rata memilih untuk hidup sederhana termasuk dalam soal tempat tinggal dan pengangkutan.
Sebagai contoh, seorang jurujual, Nur Atikah Md Said, 26, lebih selesa memilih untuk tidak berkenderaan bagi memastikan keperluan lain termasuk simpanan dapat disediakan.
Menurut Nur Atikah, buat masa ini dia menyewa bilik berhampiran stesen LRT dengan kos hanya RM400 sebulan dan bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan awam dan perkhidmatan e-hailing.
“Saya lebih selesa tanpa komitmen kenderaan. Duit gaji boleh saya tumpukan pada simpanan dan keperluan penting,” katanya. – KOSMO! ONLINE














