fbpx
PDRM memberi jaminan keselamatan awam akan terus dipelihara selain mengingatkan peserta himpunan agar mematuhi undang-undang. - GAMBAR HIASAN

Turun Anwar, tapi siapa pula nak naik?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HARI ini (Sabtu) khabarnya akan ada ‘himpunan besar’. Tajuknya pun dah menggigit, Turun Anwar. Nada keras. Matlamatnya jelas, nak jatuhkan Perdana Menteri.

Tapi soalnya, kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim turun, siapa yang pembangkang terutamanya Perikatan Nasional (PN) nak naikkan?

Tanyalah mana-mana orang kampung, atau anak muda TikTok, jawapan mereka mungkin sama, “siapa ganti tak penting, janji Anwar turun.”

Logik macam ini bukan baharu. Sejarah politik Malaysia penuh dengan rentetan jatuhkan pemimpin. Dari zaman Pak Lah ke Najib, dari Mahathir ke Muhyiddin, turun naik bukan sangat sebab dasar, tapi siapa berkawan dengan siapa, siapa sudah tidak relevan kepada siapa.

Tapi kali ini lain. Anwar bukan datang sebagai calon satu parti. Dia datang atas tiket satu kerajaan campuran yang disokong bukan sahaja oleh PH, malah oleh BN, GPS, GRS, dan pelbagai lagi komponen.

Kalau dia jatuh, kerajaan pun ikut goyang dan di sinilah silap congakan mereka yang menjerit “turun Anwar”, mereka lupa, ini bukan 2020.

Kalaupun pembangkang beria nak bentuk kerajaan baharu, cukupkah nombor? Masih ingat Langkah Sheraton? Drama parlimen, lompat-melompat, dan akhirnya kestabilan jadi korban.

Lebih pelik, baru-baru ini timbul laporan perjumpaan tertutup melibatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa Ahli Parlimen pembangkang tanpa kehadiran wakil Pas.

Perjumpaan yang berlaku di sebuah hotel ini mencetuskan spekulasi adakah PN sedang berbincang membentuk pakatan baharu? Atau adakah keretakan mula muncul dalam kem pembangkang sendiri?

Apa yang pasti, rakyat semakin muak dengan politik belakang tabir. Mereka mahu kerajaan fokus mentadbir, bukan berpolitik sepanjang tahun.

Lebih penting, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan sebanyak 60 laporan polis telah dibuat di seluruh negara berhubung perhimpunan Turun Anwar, termasuk 10 laporan di ibu negara, setakat 16 Julai lalu.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Yusof Jan Mohamad berkata, pihaknya juga telah menerima pemakluman awal daripada Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) selaku penganjur perhimpunan berkenaan.

“Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran perkhidmatan pengangkutan awam, PDRM dengan kerjasama pengendali pengangkutan menempatkan anggota tambahan di 15 stesen LRT, MRT dan Monorel sekitar pusat bandar termasuk KL Sentral, Masjid Jamek, Merdeka, Dang Wangi, Bukit Bintang dan Chow Kit.

“Langkah itu diambil bagi memastikan perhimpunan tidak menjejaskan pergerakan pengguna serta kestabilan ekonomi.

“PDRM menjangkakan akan berlaku kesesakan lalu lintas menuju ke pusat bandar, namun tiada penutupan jalan dilakukan. Pemantauan dan kawalan trafik tetap akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.

Rakyat Malaysia sekarang sudah matang. Bukan kesesakan jalan raya, menyusahkan keluarga yang mahu bergerak, mereka nak kestabilan, bukan pertukaran Perdana Menteri macam tukar selipar.

Mereka nak harga barang turun, bukan Perdana Menteri turun. Mereka nak peluang kerja, bukan peluang propaganda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN