PETALING JAYA – Tindakan sekumpulan jurugambar jalanan yang didakwa mengganggu sepasang pelancong asing ketika merakam gambar berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas (KLCC) mencetuskan kecaman hebat di media sosial.
Menerusi sebuah klip yang tular di media sosial menunjukkan beberapa lelaki bergaduh mulut dengan pasangan pelancong berkenaan dipercayai kerana pelancong tersebut ingin merakam gambar sendiri tanpa menggunakan khidmat jurugambar di lokasi tumpuan itu.
Menjengah ke ruangan komen, orang ramai menyifatkan menyifatkan tindakan jurugambar terbabit sebagai memalukan imej negara, apatah lagi membabitkan pelancong luar.
“Memalukan nama negara kita sahaja mereka ini, minta tolong pihak berkuasa kutip orang macam ini,” komen Nurul 1175.
“Hairan dengan mereka ini kadang, tak tahu ke apa yang dibuat boleh mencemarkan dan merosakkan nama Malaysia? makin ramailah pelancong tidak mahu datang,” Iliasomar.
“Sudahlah ini antara tempat kegemaran pelancong, habis kotor nama negara sebab orang-orang macam ini,” ujar HUR.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan tindakan seorang jurugambar jalanan mengenakan caj tidak munasabah kepada pelancong Thailand untuk gambar berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas.
Menerusi perkongsian pelancong dari negara jiran itu di Instagramnya, dia dan rakannya nyaris menjadi mangsa penipuan selepas bersetuju menggunakan khidmat jurugambar lelaki yang berada di kawasan tarikan pelancong tersebut.
Namun, sebaik sesi bergambar selesai, lelaki itu memaklumkan bayaran yang perlu dijelaskan adalah RM860 atas alasan dia merakam sebanyak 43 keping foto dengan setiap satunya berharga RM20.-KOSMO! ONLINE