KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuka lembaran baharu buat pembangunan akar umbi apabila tiga pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bawah 17 tahun (B-17) menarik minat akademi bola sepak di Bosnia & Herzegovina selepas sesi pemilihan baru-baru ini.
Presiden FAM, Datuk Joehari Mohd. Ayub mengesahkan pemain-pemain muda tersebut telah menjalani ujian percubaan di Bosnia dan menerima maklum balas positif daripada pihak akademi berkenaan.
“Pihak akademi di Bosnia sangat kagum dengan prestasi mereka. Kini mereka berminat untuk menandatangani pemain kita ke akademi mereka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Liga Wanita Nasional (LWN) 2025 di Saloma Kuala Lumpur hari ini.
Tiga pemain terbabit ialah penyerang AMD B-17, Izzuddin Afif Nazaruddin; pemain tengah Muhammad Ilham Azani Mohd. Azamin dan penyerang AMD B-16, Muhammad Iman Danish Mohd. Shukor.
Menurut Johari, inisiatif seperti ini adalah sebahagian daripada usaha FAM untuk membuka lebih banyak peluang kepada pemain muda menimba pengalaman dan pendedahan di luar negara.
“Saya sendiri ke Melbourne, Australia baru-baru ini bukan sekadar menyaksikan perlawanan, tetapi juga berunding dengan pihak di sana mengenai penempatan dan ‘attachment’ pemain muda kita di luar negara,” katanya.
Sebagai rekod, kemasukan terakhir pemain muda negara ke kelab utama Eropah menerusi Luqman Hakim Shamsudin yang menyertai kelab KV Kortrijk di Belgium pada 2020. – KOSMO! ONLINE