fbpx
Salah satu papan tanda yang terlindung dahan pokok dan rosak di Bukit Baru, Melaka.

Luahan pembaca: ‘Sakit mata’ lihat papan tanda di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Saudara Pengarang,

SAYA ingin meluahkan rasa kesal dan rimas melihat papan tanda jalan yang terlindung dengan dahan pokok di kawasan Bukit Baru, Melaka.

Ini mungkin dianggap kecil oleh sesetengah pihak, namun kesannya amat besar buat pengguna jalan raya dan imej bandar Melaka khususnya dalam kalangan pelancong.

Sebagai pengguna yang sering melalui jalan itu, keadaan ini bukan pertama kali berlaku, malah berlarutan sejak sekian lama tanpa sebarang tindakan.

Fungsi papan tanda membantu memberi panduan, tapi ia tidak kelihatan kerana dihalang pokok, malah sebahagiannya sudah rosak dan pudar.

Lebih mengecewakan, Bukit Baru bukan kawasan terpencil. Ia menjadi laluan utama ke beberapa destinasi pen­ting.

Jika pelawat luar datang dan melihat keadaan sebegini, tentu sekali mereka akan mempersoalkan tahap keprihatinan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menjaga imej Melaka.

Masalah ini juga boleh mendatangkan risiko keselamatan. Bayangkan jika ada papan tanda amaran atau pandu arah yang tidak dapat dilihat kerana dilindung pokok. Ini boleh menyebabkan kekeliruan.

Malah, dalam situasi tertentu, boleh menyebabkan kemalangan atau kesesakan lalu lintas.

Saya yakin masalah ini boleh diselesaikan dengan mudah jika ada pemantauan berkala dan tindakan pantas oleh pihak berwajib. Tidak perlu tunggu aduan, sikap proaktif dalam pengurusan bandar satu perkara asas yang perlu diterapkan demi keselesaan dan keselamatan masyarakat.

Saya mohon pihak berkaitan, sama ada PBT, jabatan landskap atau mana-mana agensi terlibat segera turun padang melihat keadaan ini.

Jangan biarkan perkara remeh ini mencacatkan wajah bandar Melaka yang sepatutnya cantik dan terurus.

Harapan saya agar tindakan segera dapat diambil sebelum keadaan menjadi lebih teruk dan menimbulkan lebih banyak rungutan daripada masyarakat.

Anak JATI MELAKA
Bukit Baru, Melaka

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN