fbpx
MENERUSI Bakal Kekasih, Amir buat pertama kali membawa semangat rock and roll dengan gaya ranggi seperti dalam karya Uptown Girl dan High School Musical.

Bukan cinta biasa, Amir Masdi perkenal Bakal Kekasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENCINTAI dalam diam hanya sebuah pilihan yang adakalanya merosakkan perasaan sendiri, kalau pun bahagia peratusannya terlalu rendah. Sudahnya, kecewa atau insan yang dimahukan, dirindui dan disayangi tanpa pengetahuan itu akan berlalu ke arah sesuatu yang pasti. Hukum jodoh benar, namun usaha tidak mendustakan hasil.

Perasaan-perasaan terpendam itulah cuba diluahkan penyanyi Amir Masdi buat wanita impiannya.

Sekian lama memendam perasaan, rasa tulus itu kini terlahir menjadi sebuah kisah cinta yang luar biasa berjudul Bakal Kekasih.

Menurut Amir atau nama lengkapnya Amir Syazwan Masdi, 29, lagu Bakal Kekasih menggambarkan momen ketika mula menyukai seorang wanita yang bukan sahaja menarik perhatian, malah menjadi inspirasi kepada karya yang segar dan berjiwa.

LAGU Bakal Kekasihditulis sendiri Amir ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa tahun lalu.

Hasil perbincangan bersama Edry Abdul Halim, rasa suka kemudian diubah kepada keinginan menjadikan seseorang sebagai pasangan hidup.

“Saya menulis lagu ini dengan pendekatan yang ringan dan menyeronokkan, tentang perasaan apabila kita mula menyukai seseorang.

“Namun, Edry mencadangkan agar kisahnya dibawa dengan lebih mendalam dan bermakna,” ujarnya.

Tidak seperti lagu-lagu terdahulunya seperti Nurcinta, Calar dan Langit Biru, Bakal Kekasih menandakan satu perubahan besar buat Amir yang buat pertama kali tampil dengan genre rock and roll, sekali gus memberi warna baharu dalam perjalanan seninya.

“Saya berasakan Bakal Kekasih sangat berbeza daripada lagu-lagu yang pernah dilancarkan sebelum ini. Ini lagu pertama saya dalam genre rock and roll, dan sebenarnya lagu ini telah saya tulis sejak sekian lama, iaitu sejurus selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun lagu itu tersimpan begitu sahaja dalam telefon saya selama beberapa tahun.

“Apabila saya mula merancang penghasilan album ini, Edry bertanya jenis lagu bagaimana lagi ingin saya ketengahkan. Ketika itu, saya terus teringat lagu rock and roll ini.

“Dia suka dan berkata, ‘ini lagu yang bagus’. Dengan bantuannya, terhasillah lagu Bakal Kekasih,” jelas Amir.

Walaupun album terbaharunya hadir dengan irama yang ceria dan santai, itu bukan sekadar karya cinta biasa kerana mengangkat tema menyeluruh tentang keinginan dan harapan untuk bersama insan yang dicintai.

“Baik masih bujang, sudah bercinta mahupun yang berumah tangga, mesejnya boleh dirasai semua.

“Saya percaya lagu ini mampu menjadi medium untuk orang ramai meluahkan perasaan, khususnya bagi mereka yang segan atau malu untuk menyatakannya secara langsung,” katanya.

VIDEO muzik Bakal Kekasih dirakam pada Februari tahun lalu berlokasikan sebuah kafe retro di United Kingdom.

Semangat retro

Menampilkan susunan muzik yang rancak, melodi yang mudah diingati serta vokal yang bertenaga, single terbaharu ini menonjolkan sisi Amir yang lebih berani dan berjiwa muda, ditambah pula dengan pelancaran video muzik yang dirakam di sebuah restoran berkonsep retro di Manchester, United Kingdom pada Februari tahun lalu.

“Kami mengambil konsep yang santai dan menyeronokkan dengan elemen remaja, seakan-akan High School Musical atau Uptown Girl. Saya mahu menonjolkan tenaga serta suasana ceria yang boleh dinikmati oleh semua orang,” tambahnya lagi.

Keberanian Amir membawa kembali semangat rock and roll klasik dilihat sebagai langkah yang memberi kelainan kepada dirinya sebagai seorang artis dan berharap lagu ini dapat mengubat rindu para peminat terhadap irama tersebut yang jarang diketengahkan pada zaman kini.

“Saya harap lagu ni dapat mengubat rindu peminat Rock and Roll. Ini memang sesuatu yang berbeza daripada saya dan saya sangat teruja serta berharap ia membawa sesuatu yang baik untuk kerjaya saya juga,” luahnya.

Bakal Kekasih kini boleh distrim dalam semua platform digital manakala video muzik rasmi juga sudah boleh disaksikan menerusi YouTube. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI