fbpx

Bayi maut di taska: Pengasuh direman dua hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas perintah reman selama dua hari dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Melaka, hari ini. - Foto oleh ARIF HAMIZAN MISKON / KOSMO!

MELAKA – Seorang pengasuh wanita direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi lelaki berusia enam bulan di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (taska) di Padang Temu, di sini, kelmarin.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Ayer Keroh, N. Sivashangari terhadap suspek yang berusia 26 tahun bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Terdahulu suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9.20 pagi dengan diiringi anggota polis.

Semalam, Kosmo! melaporkan seorang bayi lelaki berusia enam bulan meninggal dunia di sebuah taska di Padang Temu dipercayai akibat lemas selepas mangsa yang dibedung ditemui tertiarap di atas tilam, kelmarin.

Menurut sumber, kejadian hanya disedari berlaku apabila pengasuh berkenaan memeriksa keadaan mangsa selepas menidurkannya kira-kira satu jam dan mendapati bayi berada dalam keadaan tertiarap, manakala mukanya kebiru-biruan.

Bayi berkenaan didakwa telah dikejarkan ke Klinik Utama Ujong Pasir oleh pihak pengasuh dan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) telah diberikan, namun mangsa disahkan telah meninggal dunia selepas dirujuk ke Hospital Melaka.

Laporan polis telah dibuat oleh pihak hospital dan tangkapan ke atas suspek dilakukan pasukan dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) di hadapan taska itu semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI