SAUDARA PENGARANG
Sehingga kini masih ada lagi ketua jabatan atau pentadbir yang memilih bulu dan kroni dalam memberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada kakitangan.
Sepatutnya, penghargaan itu diberikan kepada kakitangan kerajaan yang benar-benar melaksanakan perkhidmatan yang cemerlang, bermutu dan penghasilan kerja melebihi tanggungjawabnya.
Namun malangnya, mereka yang kuat mengipas dan suka membodek antara pilihan ketua jabatan atau pentadbir biarpun hasil kerja biasa-biasa sahaja.
Lebih mengecewakan apabila mereka yang sering mengambil cuti atau bermasalah turut diberi APC, dengan alasan tiada lagi calon yang lebih senior dalam kumpulannya selain mengikut giliran.
Sepatutnya, amalan sebegini tidak lagi boleh diamalkan. Ketua jabatan dan mereka yang bertanggungjawab dalam pemilihan itu perlu bertanggungjawab dan amanah dalam menamakan calon APC terbaik.
Tindakan memilih bulu tidak adil kepada mereka yang benar-benar bekerja keras dan kompeten selain menjatuhkan moral kerja mereka. Mohon kerajaan melakukan sesuatu dalam menangani perkara ini yang masih wujud.
SAMAD
PETALING JAYA















