fbpx
Para peserta hadir ke program Unggun Api by Quyeng tanpa mengenali satu sama lain, namun di ruang ini mereka saling berkongsi permasalahan tanpa rasa dihakimi. – Foto SYAKIR RADIN

Kem pertemuan ‘strangers’ kongsi masalah hidup, bebanan jiwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERDEPAN dengan isu peribadi yang dipendam sendiri memicu masalah kesihatan mental yang terbit akibat tumpuan bebanan rasa sejak sekian lama.

Hal itu berlaku kepada pekerja swasta yang hanya mahu dikenali Nor Azlin, 34, dalam kehidupannya hingga tanpa sedar dirinya karam perlahan-lahan.

Mengakui tiada tempat untuk meluah dan mengadu, situasi itu menjadikan dia terbiasa memendam semua masalah hidup sendiri yang akhirnya memakan diri serta menjejaskan kehidupan.

“Dalam kehidupan, saya membawa luka yang sangat dalam dari peristiwa kehilangan, penolakan dan perasaan ‘tidak cukup baik’ yang terlalu lama terpendam.

“Orang melihat saya senyum seperti tiada masalah, tetapi hakikatnya semakin hari emosi semakin meruntun kerana tiada siapa yang boleh saya tuju untuk mengadu dan kekuatan buat menutupnya semakin terhakis,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.

Tambahnya, ketika dia sedang mencari makna tentang luka, reda dan ruang untuk bernafas, takdir Tuhan mempertemukannya dengan satu hantaran di media sosial tentang satu program Unggun Api by Quyeng.

Program yang awalnya dilihat sebagai sebuah aktiviti duduk bersama orang asing dan meluangkan masa dengan mereka itu menarik minatnya untuk cuba melepaskan diri daripada tekanan yang membelenggu.

Bukan sahaja Nor Azlin, bahkan ada ramai lagi insan-insan yang menghadapi masalah sama dan berbuat hal serupa. Di saat isu kesihatan mental semakin ‘menghantui’ rakyat negara ini pascapandemik Covid-19, program seperti ini menjadi salah satu platform untuk meluahkan masalah kepada seseorang selain daripada sahabat dalam talian seperti Befrienders atau bertemu kaunselor.

PERHIMPUNAN terbaharu diadakan di Ulu Yam, Selangor baru-baru ini.

Program tahunan atau berkala yang telah diadakan sejak tahun 2022 itu memperlihatkan peningkatan bilangan peserta dari 120 orang kepada 300 orang baru-baru ini yang berlangsung di Ulu Yam, Selangor.

Menjadi peserta sejak siri pertama, Nor Azlin berkongsi setelah menyertai program itu, dia menyedari bahawa ia bukan sekadar satu pertemuan untuk sesi refleksi ringkas atau lepak-lepak biasa tetapi sebuah ruang yang jarang wujud dalam dunia hari ini.

“Unggun Api by Quyeng adalah rumah bagi luka yang terpendam dan tidak didengar, tempat untuk meluah tanpa dihakimi, berkongsi bagi sama-sama mengenal bahawa di dunia kita tidak sendiri.

“Semua yang menyertai program ini adalah orang asing dan semua berdepan isu sama iaitu masalah kesihatan mental serta mencari jalan solusi perbaiki diri,” ujarnya.

Turut menyertai program itu adalah pekerja swasta, Baitul Husna Zainuddin, 35, yang juga mempunyai masalah tersendiri, namun awalnya hanya merancang jadi pendengar.

Kongsinya yang pertama kali menyertai di edisi kelapan tahun ini dia tertarik dengan konsep program tersebut yang menyediakan ‘ruang nyaman’ buat orang senasib dengannya, melepaskan beban walau secebis dan kembali mengumpul semangat hidup.

Mungkin ia kelihatan seperti kem motivasi tetapi hakikatnya adalah berbeza, semua peserta tidaklah diberi ceramah tetapi mendapatkan kesedaran diri menerusi ketenangan alam, hubungan dan interaksi sosial serta refleksi daripada kisah hidup orang lain.

Selain membawa perkongsian daripada personaliti jemputan, acara utamanya adalah berkumpul di sekitar unggun api untuk luahkan cerita peribadi, cabaran hidup dan bertukar pandangan dalam suasana selamat serta tanpa prejudis.

“Sebuah unggun api bukan hanya menjadi penghangat di kala dinginnya malam tetapi juga berupaya menjadi tempat nyaman buat segelintir pihak.

“Program ini secara tidak langsung memberikan pemulihan mental melalui ungkapan diri tanpa halangan, sosialisasi dan jaringan bersama individu baharu serta suasana unik seperti mod campfire di tengah alam,” kongsinya.

Katanya lagi, selepas menyertai program ini, dia banyak belajar hakikat bahawa ada individu yang berdepan masalah lebih berat daripada dirinya hingga pernah cuba membunuh diri dan menginspirasi kekuatan mereka yang berupaya terus bertahan.

Program ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan dengan penyertaan orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang.

Malah, rata-rata peserta bukanlah dari keluarga miskin, bahkan ada yang sudah berkerjaya dan berpangkat tinggi.

Selain mendengar, Baitul Husna akhirnya bukan sahaja berkongsi kisahnya bahkan nasihat agar dapat menjadi teladan buat kawan-kawan lain.

Buat kedua-dua mereka, impak program ini memberi kesan positif terhadap diri mereka yang mula membenarkan diri untuk sembuh dan secara perlahan menjadi lebih baik.

Ia adalah proses jangka panjang untuk merawat, sebuah input yang bermakna dapat merubah sudut pandang seseorang untuk mengubah nasib diri, cara berfikir dan membuat keputusan bagi meneruskan hidup.

Bagi pengasas dan penganjur iaitu Quyeng, program ini merupakan perkongsiannya yang juga mempunyai masalah kesihatan mental dan didiagnosis pada tahun 2021.

Mengasaskan program ini daripada sambutan perkongsian di sosial media tentang kesukaran hidup di usia 25 hingga 30 tahun, dia hadir dengan idea untuk membuat satu aktiviti berkumpul bersama orang asing berkongsi masalah hidup yang dihadapi.

“Program pertama berlangsung pada 2022 dengan tema, ‘punya cerita tetapi tidak punya rumah’ mendapat sambutan menggalakkan daripada warga tempatan dari pelbagai lapisan umur dan latar belakang.

“Atas sambutan itu, program ini diteruskan setiap tahun hingga siri ke lapan pada tahun ini dengan penyertaan dari seluruh Malaysia serta negara jiran Indonesia dan Singapura,” kongsinya.

Katanya lagi, setiap penganjuran program ditambah baik dari segi pengisian, namun masih mengekalkan aktiviti berkumpul bersama di hadapan unggun api bagi berkongsi masalah dan mencari ketenangan.

Selain itu, program ini bukanlah sekadar one-off sahaja tetapi bagi yang benar-benar memerlukan bantuan khidmat sokongan susulan sebagai sahabat pendengar yang dikendalikan oleh Quyeng sendiri serta sukarelawannya turut dilakukan.

“Kita akan sentiasa menjadi platform untuk bantu mereka dengan masalah kesihatan mental dan membuka ruang mengubah hidup ke arah lebih baik.

“Capaian saya juga bukan sahaja sekadar mereka di Malaysia tetapi negara serantau kerana isu ini masalah global dan ia boleh di atasi dengan sokongan bersama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN