fbpx
RUANG tamu utama berkonsepkan Eropah klasik.

Dekorasi klasik, mewah ala Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUASANA elegan, klasik, dan mewah dengan sedikit sentuhan moden menjadi santapan mata mereka yang berkunjung ke rumah pemuda berusia 34 tahun itu.

Melangkah masuk ke rumahnya bagaikan berada di kediaman bangsawan Inggeris dengan dekorasi ala Eropah di setiap penjuru rumah.

Menurut pemilik kediaman itu yang juga seorang pereka fesyen, Muhammad Firdaus Syaipun Naim, dia memilih konsep itu kerana sangat meminati tema berkenaan sejak sekian lama.

“Saya suka konsep rumah gaya Eropah kerana kelihatan mewah dan malar segar serta tidak jemu mata memandang.

“Memang sejak dulu saya berangan mahu buat dekorasi rumah ala Eropah. Apabila sudah beli rumah sendiri, idea itu dapat menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di kediamannya di Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, bagi merealisasi impian kediaman ala Eropah itu, rumah teres dua tingkat yang dibelinya diubah suai secara keseluruhan termasuk menambah saiz dan mengubah rekaannya.

Muhammad Firdaus atau lebih dikenali Firziey menghidupkan mood gaya Eropah dengan dinding batu bata di pintu masuk yang terletak bersebelahan gerbang taman di sebelah rumah.

SALAH satu sudut yang menampilkan dekorasi ala Eropah.

Memasuki rumah, ruang pertama adalah laluan masuk dihiasi perabot kayu klasik, berukir dan jubin hitam putih yang mewujudkan suasana seperti dalam istana Inggeris.

Menariknya, rumah itu menempatkan lima ruang tamu yang semuanya direka dengan konsep asas Eropah, namun dalam pendekatan berbeza.

Melepasi ruang laluan masuk, pelawat akan memasuki ruang tamu utama berkonsepkan Eropah klasik yang mewah dan elegan. Ruang tersebut diisi perabot kayu berukir yang tampak klasik, pasu mewah dan bantal kusyen corak floral.

Selain itu, pencahayaan candelier (lampu gantung) menjadi titik fokus di ruang tersebut, sekali gus menyerlahkan lagi dinding panel kayu (wainscoting).

Bagi menjadikan ruang tampak luas dan gaya Eropah lebih terserlah, cermin diletakkan pada dinding pemisah.

FIRZIEY dan isterinya sangat meminati konsep kediaman ala Eropah.

“Kita membawa kesinambungan konsep Eropah ini ke ruang tamu kedua dan ketiga. Penggunaan perabot kayu berukir tetap digunakan untuk kabinet, meja kopi, meja sisi dan kerusi. 

“Hiasan yang digunakan adalah pasu diisi jambangan bunga ros. Ruang tamu ketiga pula menempatkan televisyen yang diletakkan di atas tempat api olok-olok,” ujarnya.

Katanya lagi, bagi ruang tamu keempat dan kelima pula, dekorasi Eropah diberi sentuhan lebih moden dengan penggunaan perabot minimalis untuk ruang yang sedikit kecil.

Beralih ke ruang dapur, Firziey menerapkan gaya Eropah dalam rona putih yang disambungkan ke laluan alternatif untuk ke taman di luar rumah.

Menikmati makanan di dapur itu menjadi lebih tenang selepas melihat keindahan taman ala Inggeris sambil mendengar bunyi burung.

“Kita ada ruang makan utama yang dihias seperti tempat makan istana Inggeris. Di dapur ini juga ada ruang makan yang betul-betul menghadap taman di luar.

“Suasana Eropah ini saya visualkan seperti betul-betul berada di rumah luar negara sebab itu semua dekorasi serta elemen di dalamnya saya terapkan gaya Eropah termasuk di rooftop,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN