PENYOKONG Arsenal kini boleh dikatakan peminat kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) paling gembira berdasarkan situasi semasa dalam pasaran perpindahan pemain ketika ini.
Seorang demi seorang pemain baharu dibeli Arsenal dalam usaha mereka menamatkan penantian panjang 21 tahun untuk kembali mendakap trofi EPL menjelang musim baharu bermula 16 Ogos ini.
Sejak jendela perpindahan dibuka 16 Jun lalu, bekas juara Invincibles itu telah menyambar Kepa Arrizabalaga, Martin Zubimendi dan Christian Norgaard dengan empat atau lima nama lagi hanya menanti masa diumumkan.
Kali terakhir Arsenal berbelanja sakan sewaktu edisi 2022/23 apabila membeli lapan pemain sebelum dua musim berikutnya sekadar mendapat empat dan lima sahaja termasuk pinjaman.
Paling mencuri tumpuan pastinya kejayaan Arsenal meyakinkan salah seorang penyerang prolifik Eropah, Viktor Gyokeres untuk mengetuai jentera serangan skuad bimbingan Mikel Arteta selepas ini.
Gyokeres sememangnya hanya mahu menyarung jersi Arsenal daripada kelab-kelab lain termasuk Manchester United apabila sanggup memotong gaji mingguannya sebanyak €2 juta (RM9.94 juta).
Penyerang dengan 97 gol dalam dua musim terakhir itu turut mengugut tidak mahu beraksi lagi buat Sporting Lisbon dan sanggup keluar secara pinjaman bersama kelab lain jika gagal berpindah ke Arsenal.
Menariknya, Gyokeres bakal hadir dengan harga lebih rendah berbanding nilai keseluruhan perlu dibayar United membeli Rasmus Hojlund daripada Atalanta pada 2023 iaitu £72 juta (RM416.08 juta).
Malangnya, Hojlund bergelut untuk menyinar di Old Trafford, begitu juga Darwin Nunez yang masih gagal untuk menyamai nilai perpindahan keseluruhan £85 juta (RM491.20 juta) ketika dibeli Liverpool daripada Benfica.
Sepanjang dua tahun bersama United, Hojlund hanya mampu meledak 26 gol dalam semua kejohanan, manakala Nunez cuma menghasilkan 40 jaringan untuk tiga musim bersama Liverpool.
Jika dilihat kepada rekod lampau, Gyokeres langsung tidak dikenali ketika bersama Brighton dari 2017 hingga 2021 sebelum mula mencuri tumpuan sewaktu mewakili Coventry City pada dua musim berikutnya.
Arsenal berharap bintang Sweden berusia 27 tahun ini mampu menyelesaikan masalah jentera serangan pasukan itu dengan menjadi penyerang yang mampu meledak sekurang-kurangnya 20 gol ke atas di pentas EPL.
Para peminat Arsenal juga sedang menantikan nama-nama yang hangat dikaitkan seperti pemain sayap Chelsea, Noni Madueke, Eberechi Eze (Crystal Palace), Rodrygo (Real Madrid) dan Cristhian Mosquera (Valencia).
Seandainya dua daripada empat nama ini atau kesemuanya berjaya dibeli Arsenal, tidak mustahil impian untuk melenyapkan kritikan ramai dengan kembali menjuarai EPL musim depan mampu direalisasikan.
Kini persoalan utama sama ada pemain-pemain baharu ini mampu segera menyesuaikan diri dengan tahap kompetitif tinggi di EPL selain taktikal permainan diterapkan Arteta yang begitu menitikberatkan sistem OOP (out of possession). -KOSMO! ONLINE














