Perairan Bagan Lalang di Selangor bukanlah satu nama asing bagi pemancing di sebelah Pantai Barat Semenanjung. Lokasinya yang tidak jauh dari Kuala Lumpur menjadikannya antara tempat tumpuan kaki jigging dan bottom yang sentiasa mengidamkan tarikan ikan dari dasar.
Di kesempatan terbaharu ini, saya berpeluang menyertai satu trip yang cukup menarik untuk memburu spesies ikan dasar menggunakan teknik slow pitch jigging di sekitar perairan Bagan Lalang
Perjalanan saya bersama adik bermula seawal pukul 6 pagi dari Kapar, Selangor. Perjalanan mengambil masa kira-kira satu jam melalui Lebuh Raya NKVE dan juga menyusuri jalan kampung ke destinasi.
Jeti Sirip Biru menjadi titik permulaan trip kami hari itu. Jeti ini agak tersorok dan dikelilingi suasana kampung nelayan, tetapi lengkap dengan kemudahan asas dan akses mudah ke kawasan perairan yang kaya dengan hasil laut.
Setibanya di jeti sekitar pukul 7.30 pagi, saya disambut oleh tekong bot, Afiq Khalil seorang arkitek yang mengubah haluan kariernya akibat bosan dengan kesibukan kota, beliau juga pemancing tegar yang cukup dikenali dalam komuniti jigging secara online dengan nama afk.jig.all.day. Beliau juga merupakan antara tekong muda yang kerap berkongsi ilmu jigging dan lubuk-lubuk menarik di sekitar perairan Selangor.
Kami menaiki bot sekitar pukul 8 pagi, dan perjalanan ke lokasi mengambil masa hampir 20 minit. Laut pagi itu agak bergelora, angin kuat bertiup dari arah barat menyebabkan ombak sedikit tinggi. Namun begitu, langit yang cerah dan ramalan cuaca yang positif memberikan harapan bahawa keadaan akan bertambah baik menjelang tengah hari.
Sepanjang perjalanan, Afiq banyak berkongsi tentang kawasan jigging yang bakal kami lawati. Lubuk pilihan terletak sekitar 30 kilometer dari pantai, dengan kedalaman laut di kawasan tersebut berada dalam lingkungan 30 hingga 80 meter (m). Ini adalah medan yang cukup sesuai untuk teknik slow pitch jigging, terutamanya ketika kekuatan arus adalah sederhana dalam keadaan air yang lenang.
Sekitar pukul sembilan pagi, kami mula melabuhkan jig dengan penuh harapan. Arus pada waktu itu sederhana deras, cukup untuk memberi gerakan yang semula jadi kepada jig, tetapi tidaklah terlalu kuat sehingga membuatkan ia melayang jauh.
Jig berat antara 120 hingga 200 gram (g) menjadi pilihan, bergantung kedalaman dasar ketika itu. Saya menggunakan jig yang compact pada waktu pagi dengan kombinasi hijau dan perak, warna yang sering memberi hasil dalam keadaan air yang cerah.
Tidak lama selepas labuhan jig pertama, adik saya menerima sambaran padu dari dasar. Joran melentur dan drag kekili berbunyi nyaring.
Selepas beberapa minit bertarung, seekor ikan merah bersaiz lebih 2kg berjaya dinaikkan. Sorakan kegembiraan bergema di atas bot, memberikan semangat kepada saya dan juga Afiq untuk terus mencuba.
Tidak lama kemudian, saya sendiri berjaya menaikkan seekor ikan jenahak. Ikan tersebut menyambar jig ketika ia berada di sekitar kedalaman 40m dari dasar.
Pertarungan agak padu kerana ikan jenahak merupakan spesies ikan yang kuat membenam apabila terkena jig. Mujur tali utama saya kekuatan PE3 dan perambut fluorocarbon 50 paun (lb) kukuh menahannya. Setelah berjaya mendaratkannya, rasa puas sememangnya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Tengah hari yang lenang
Seiring dengan waktu tengah hari, angin mula reda dan keadaan laut menjadi semakin lenang. Inilah waktu keemasan untuk jigging. Arus mula mengalir perlahan dan jig mudah sampai terus ke dasar.
Kami terus berpindah dari satu lubuk ke satu lubuk yang lain, mencuba nasib di struktur dasar seperti batu karang, kapal karam serta kawasan dasar yang berbukit.
Tidak lama kemudian Afiq menaikkan ikan jenahak yang agak besar dengan teknik ‘bottom drift’ menggunakan umpan seekor sotong kurita.
Afiq selaku tekong sangat aktif memainkan peranan. Beliau bukan sahaja mengemudi bot dengan baik, malah sering memaklumkan isyarat sonar apabila terdapat pergerakan ikan di bawah bot. Boleh dikatakan setiap lokasi yang kami lawati pasti ada sambaran, walaupun tidak semua berjaya dinaikkan.
Menjelang pukul 2 petang, cuaca berubah menjadi sangat baik. Tiupan angin menjadi perlahan dan permukaan laut menjadi hampir seperti cermin. Keadaan ini sangat membantu dalam teknik slow pitch jigging kerana kita mampu mengawal pergerakan jig dengan lebih tepat.
Sesi petang sepatutnya men- yaksikan hasil yang semakin memberangsangkan, tetapi kami hanya memperoleh ikan cencaru dengan apollo. Beberapa ekor ikan kunyit dan remong turut berjaya dinaikkan.
Teknik slow pitch jigging
Teknik jigging yang kami gunakan mudah sahaja. Turunkan jig hingga ke dasar, kemudian angkat perlahan-lahan sambil menggoyangkan hujung joran mengikut ritma tertentu.
Perlu ada kesabaran dan konsistensi kerana ikan di dasar tidak akan menyambar sembarangan. Pergerakan jig mestilah kelihatan semula jadi dan meniru ikan kecil yang sedang berenang lesu.
Antara faktor kejayaan pada hari itu ialah pemilihan masa yang sesuai, keadaan air yang lenang serta arus yang tidak terlalu deras. Gabungan ketiga-tiga faktor ini menjadikan sesi jigging kami lebih berkesan. Tambahan pula, pengalaman tekong dalam membaca pergerakan arus dan memilih lubuk terbaik banyak membantu hasil tangkapan.
Sesi kami berakhir sekitar pukul 6.30 petang. Walaupun bukan setiap percubaan jigging membuahkan hasil, namun pengalaman menerokai perairan dalam Bagan Lalang dan merasai tarikan ikan dasar menggunakan teknik slow pitch jigging memang tidak dapat dilupakan.














