Tidak dapat dipastikan sama ada ikan ini merupakan salah satu spesies ikan talang ataupun hanyalah anak kepada spesies ikan talang yang sedia wujud di perairan negara kita seperti ikan talang raya dan ikan talang pandan.
Jika dilihat secara teliti, ia lebih serupa kepada ikan talang pandan berdasarkan profilnya yang tidak selebar dan tidak ada tompok-tompok hitam besar yang sebaris seperti ikan talang raya.
Diharapkan selepas ini ada kajian saintifik untuk ikan aduweh ini oleh pakar-pakar perikanan di negara kita untuk kepastian kita bersama.
Di perairan Kelantan, ikan ini normal dijumpai di muara sungai dan pantai yang berpasir. Anak-anak ikan dan udang merupakan makanan utamanya. Ikan ini bermusim dan ketika puncak musimnya, boleh kelihatan ia dalam satu kumpulan mengejar makanannya.
Ikan ini ialah spesies ikan pemangsa, oleh itu ia gemar menyambar makanannya, disebabkan itulah gewang bersaiz kecil seperti micro lure, spinfly dan ajing sangat efektif ketika memancingnya.
Ikan ini kebiasaannya akan menyerang gewang secara berkumpulan. Sebab itu, jikalau ada yang terkena pancing, pasti akan ada ikan kedua, ketiga dan seterusnya. Namun kadangkala, kami terjumpa juga keadaan yang sukar, seekor sahaja yang dapat sampai ke sudah.
Ikan aduweh mempunyai satu barisan gigi yang halus, tajam dan sekata di mulutnya. Namun, ia tidaklah dengan mudah memutuskan perambut halus yang kami gunakan.
Apa yang perlu anda berwaspada ialah barisan duri-duri kecil dan tajam yang tersembunyi di bahagian antara atas kepalanya hingga ke sirip dorsal. Kalau terkena jari pasti akan terkeluar perkataan “aduweh” dari mulut anda, sebab itu ikan ini diberi aduweh. Berdenyut juga jari jika terluka kena duri-durinya itu.
Diserang aduweh
Bagi Faiez dan rakan karibnya Shafiq, setiap pagi Jumaat mereka berdua pasti akan keluar memancing dan lokasi pilihan mereka kali ini ialah di Pantai Cahaya Bulan, Kelantan.
Pada mula ceritanya, saya dan Kie sedang memancing dengan teknik ajing dengan harapan adalah ikan yang sudi, namun ikan dicari tidak kunjung tiba. Hinggalah saya terpandang mereka berdua yang berada di hujung pantai silih berganti menaikkan ikan.
Melihat mereka berdua asyik menaikkan ikan, kami merapati. Rupa-rupanya mereka sedang memancing ikan aduweh. Menarik juga apabila melihat teknik dan cara mereka memainkan gewang untuk memancing ikan aduweh tersebut. Nampak mudah tetapi kalau tidak kena dengan cara dan tekniknya susah juga hendak pujuk ia makan gewang.

Carolina Rig
Antaranya dengan Carolina rig yang merupakan satu persembahan gewang dengan menggunakan swivel diikat ke perambut yang bersambung ke tali utama (braided line) dengan satu ladung hidup dimasukkan ke perambut utama.
Di hujung swivel atau klip akan diikat satu perambut lain sepanjang antara satu hingga tiga kaki dan di hujung perambut tersebut akan diikat satu mata kail (worm hook). Gewang yang akan disematkan ke mata kail ialah soft plastic.
Kelebihan Carolina rig ini ialah ia dapat dilempar jauh, dan aksi soft plastic lebih semula jadi berbanding yang disemat terus ke jighead.
Dalam kes ikan aduweh ini, persembahan mereka sama sahaja dengan Carolina rig tersebut. Cuma semuanya tadi diminimumkan saiz dan kekuatannya, termasuklah mainline, perambut utama, perambut gewang, mata kail dan soft plastic saiz mikro yang biasanya digunakan untuk ajing.
Kebiasaannya untuk ikan-ikan lain, Carolina rig ini dipersembahkan secara perlahan dengan mengheret umpan di dasar atau karauan secara berterusan. Namun untuk ikan aduweh ini, mereka mengarau laju dan sekali sekala menyentap hujung joran bagi menambahkan lagi aksi menggila soft plastic yang digunakan.
Aduweh sebagai hiburan
Bagi pemancing baharu, mereka tidak pernah mengambil kisah ikan apakah yang mereka boleh pancing. Asalkan hulur umpan atau gewang, ikan sudi mengambilnya, itu sudah cukup menghiburkan mereka.
Apatah lagi ikan yang dipancing dapat dijadikan sajian seisi keluarga, lagilah mereka bangga dengan hasil yang dibawa pulang.
Kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang minat memancing, jangan sesekali halang minat mereka, sebaiknya beri galakan supaya mereka lebih bersemangat untuk terus memancing.
Tidaklah mereka lalai dengan gajet atau merayau dengan tidak tentu hala.














