BANDAR GAZA – Tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 100 rakyat Palestin dalam tempoh 24 jam ketika Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berada di Washington untuk membincangkan gencatan senjata di Gaza, lapor akhbar Mirror UK semalam.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencadangkan gencatan senjata selama 60 hari sebagai pertukaran kepada separuh daripada keseluruhan tebusan Israel yang masih ditawan di Gaza.
Kata beliau, gencatan senjata dijangka berlaku minggu ini.
Sementara itu, sekurang-kurangnya 82 penduduk Gaza terbunuh kelmarin dan semalam, menjadikan angka kematian meningkat lebih 100 orang ketika tentera Israel meneruskan serangan mereka.
Rundingan tidak langsung antara Israel dan Hamas juga berlaku di Doha, Qatar, berkemungkinan mengenai rancangan untuk membebaskan lebih ramai tahanan Palestin.
Tentera Israel melancarkan serangan udara awal kelmarin dengan menyasarkan pelabuhan dan kemudahan yang dikuasai pemberontak Houthi di Yemen.
Kumpulan itu bertindak balas dengan tembakan peluru berpandu menyasarkan Israel.
Tentera Israel berkata, pihaknya cuba memintas dua peluru berpandu yang dilancarkan oleh militia Houthi, namun ia tersasar meskipun tiada kecederaan dilaporkan. – AGENSI