KUALA LUMPUR – Polis menahan 10 lelaki bagi membantu siasatan kes merusuh menggunakan senjata berbahaya di sebuah kafe di Taman Beringin di sini, kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 11.10 malam, mangsa lelaki berusia 33 tahun dipukul dengan objek dipercayai ‘forklock’ selain dibaling topi keledar di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Sukarno Mohd. Zahari berkata, kejadian berpunca akibat salah faham apabila anak saudara salah seorang suspek mendakwa ditampar lelaki tidak dikenali sebelum menyerang mangsa.
Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa dan rakannya yang berada di sebuah kafe ternampak seorang budak lelaki yang mendakwa ditampar individu tidak dikenali.
“Kemudian datang sekumpulan lelaki dalam keadaan mabuk ke arah mangsa dan rakan. Salah seorang suspek bertanyakan siapa pukul budak tersebut. Mereka (pengadu dan rakan) tidak menjawab dan masuk ke dalam kafe,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sukarno berkata, semasa berada di dalam kafe, suspek menumbuk muka pengadu, manakala salah seorang daripada mereka menghayun topi keledar ke arah kepala lelaki itu.
“Pengadu dan rakan melarikan diri dan setakat ini motif serangan masih tidak diketahui,” ujarnya.
Sukarno berkata, siasatan mendapati kejadian melibatkan tujuh hingga lapan individu dari kedua-dua belah pihak. Kesemua suspek berusia 28 hingga 41 tahun memiliki rekod jenayah dan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Kesemua yang ditahan di kawasan Jinjang semalam direman satu hingga tiga hari bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














