fbpx
Gambar fail kediaman yang terjejas akibat letupan saluran paip gas di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong pada 1 Mei lalu.

Lantik pakar bebas cari punca letupan Putra Heights

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUCHONG – Penduduk yang terjejas akibat letupan paip gas di Putra Heights di sini pada 1 April lalu boleh melantik pakar bebas untuk menjalankan siasatan teknikal bagi mengenal pasti punca letupan yang menjejaskan 529 penduduk.

Peguam, Sachpreetraj Singh Sohanpal berkata, langkah ber­kenaan boleh diambil penduduk sekiranya tiada pihak yang tampil bertanggungjawab terhadap tragedi yang menyebabkan 126 individu cedera.

“Jika tiada pihak tampil bertanggungjawab, langkah sete­rusnya ialah melantik pakar bebas untuk menjalankan siasatan teknikal bagi mengenal pasti punca letupan dan siapa yang sepatutnya dipertanggungjawabkan,” katanya kepada Kosmo!.

Sachpreetraj berkata, selain kerosakan harta, penduduk yang terjejas juga boleh menuntut ganti rugi trauma dan gangguan emosi yang dialami akibat ­kehilangan tempat tinggal serta tekanan pasca trauma sejak April lalu.

Menurutnya, tuntutan itu boleh dibuat di bawah tindakan undang-undang tort kecuaian sekiranya wujud bukti bahawa mana-mana pihak bertanggungjawab terhadap punca kejadian letupan tersebut.

Katanya, tindakan undang-undang boleh difailkan secara individu atau berkumpulan (class action suit), bergantung kepada strategi dan kesepakatan penduduk yang terjejas.

“Secara teknikal, sesiapa pun boleh memfailkan tuntutan di mahkamah sendiri, tetapi ia memerlukan pemahaman mendalam tentang proses dan undang-undang. Jadi adalah lebih baik penduduk diwakili peguam,” jelasnya.

Tambahnya, dokumen pen­ting seperti bukti kerugian, laporan perubatan, bukti pemilikan rumah, gambar dan rekod kejadian perlu dikumpulkan untuk menyokong tuntutan.

Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru (KKSB) Mohd. Badly Nordin berkata, pihaknya mendesak hasil siasatan disemak semula dengan melantik pasukan sia­satan bebas selain dibuat secara telus.

“Sebagai wakil penduduk dan mangsa yang terkesan, kami kecewa dengan keputusan yang mengklasifikasikan insiden letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Mangsa yang cedera kehila­ngan harta benda selain mengalami trauma berpanjangan berhak tahu punca sebenar kejadian serta siapa yang seharusnya bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, mereka turut menuntut penjelasan daripada kerajaan negeri mengenai pengagihan bantuan dan pembaikan rumah bagi mengelakkan berlaku diskriminasi antara kawasan perumahan dan kampung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN