BENTONG – Akibat lambakan hasil durian musang king di seluruh negara ketika ini, harga raja buah premium tersebut di Pahang terutama di Bentong dan Raub dijual serendah RM20 bagi sekilogram.
Akibat pengeluaran banyak negeri termasuk Pahang, Pulau Pinang, Johor dan Perak pada masa ini harga raja buah itu juga semakin menurun termasuk musang king di dua daerah itu.
Peniaga durian Mohamad Nafri Masrom, 38, berkata, dia telah mula berniaga durian di sini sejak seminggu lalu dan buah durian termasuk musang king semakin banyak yang luruh.
Beliau berkata, hari ini musang king yang menjadi buruan penggemar raja buat tersebut dijual lebih murah iaitu kira-kira RM20 sekilogram bagi gred B dan C berbanding RM40 hingga RM50 sebelum ini.
“Alhamdulillah hari ini buah banyak lagi dan harga lebih murah mungkin kerana satu Malaysia musim durian serentak menyebabkan buah banyak.
“Sambutan pelanggan juga amat menggalakkan apabila saya dapat menjual kira-kira satu tan durian setiap hari,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, dengan harga RM20 sekilogram bagi musang king ia adalah amat berbaloi kepada penggemar durian yang datang ke gerainya.
Katanya, harga jualan runcit durian juga akan lebih murah sekiranya durian semakin banyak sehingga harga borong dari ladang jatuh.
Ditanya sama ada peniaga durian turut terbeban akibat cukai jualan Nafri berkata, pada masa ini peniaga durian sepertinya yang menjual di tepi jalan dan bermusim tidak terlibat dengan cukai berkenaan.
Sementara itu, peniaga durian dari Jerantut, Ahmad Mustapha, 47, berkata, durian kampung premium di Damak telah mula luruh dan semakin banyak dari semasa ke semasa.
Katanya, orang ramai termasuk dari negeri luar juga semakin ramai yang datang ke daerah itu untuk mendapatkan durian kampung yang setanding dengan durian klon.
Beliau memberitahu, ketika ini durian kampung di sekitar Damak dijual dengan harga RM12 sekilogram dan menjadi rebutan penggemar raja buah itu.
“Pada masa ini Damak king masih belum luruh lagi, namun buah durian kampung premium lain telah banyak yang luruh dan dijual di sekitar daerah ini,” tambahnya.














