fbpx
KEADAAN bot membawa 15 penumpang yang terbalik di Pulau Perhentian Besar, Besut kelmarin.

‘Cuaca buruk tapi mereka tetap mahu balik resort’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BESUT – Kegembiraan tiga keluar­ga bercuti di Pulau Perhentian Besar bertukar tragedi apabila tiga daripada mereka maut, manakala seorang kritikal selepas bot yang mereka naiki terbalik akibat dilambung ombak ketika cuaca ribut dan hujan lebat di perairan itu kelmarin.

Kejadian pada pukul 10.30 ma­lam itu mengorbankan dua beranak A. Sar­rvihka, 3, dan ba­panya, S. Arumugam, 40, serta V. R. Vennpani, 10.

Seorang lagi mangsa, T. S. Sakthivel, 6, pula dilaporkan kritikal.

Difahamkan, kesemuanya da­tang dari Butterworth, Pulau Pinang untuk menginap di salah sebuah resort di pulau itu sejak Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, sewaktu kejadian, bot dinaiki 15 pelancong itu dalam perjalanan pulang ke Pulau Perhentian Besar dari Long Beach, Pulau Perhentian Kecil dekat sini.

“Mereka dikatakan baru pulang daripada menyaksikan pertunjukan api (di Long Beach).

“Difahamkan sewaktu kejadian, laut bergelora dan ombak besar kerana ribut dan hujan lebat,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Azamuddin, sewaktu hampir di pesisir pantai Pulau Perhentian Besar kira-kira 20 meter dari resort penginapan mereka, bot terbabit tiba-tiba terbalik akibat dilambung ombak.

Tambahnya, keadaan kelam-kabut, sebahagian besar daripada 16 penumpang termasuk pemandu bot berjaya diselamatkan anggota dari Balai Polis Pulau Perhentian dengan bantuan penduduk kampung.

“Empat termasuk tiga kanak-kanak yang menaiki bot itu bagaimanapun lemas dengan tiga daripada mereka disahkan meninggal dunia.

“Operasi membawa kesemua mangsa yang terselamat dan terkorban ke tanah besar menerusi Jeti Kuala Besut di sini, terpaksa dilakukan pada pukul 3 pagi selepas cuaca kembali reda,” katanya.

ahli keluarga meratap kematian tiga individu yang lemas selepas bot yang dinaiki terbalik di perairan Pulau Perhentian Besar, Besut kelmarin

Azamuddin berkata, mayat tiga mangsa yang maut telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa iaitu Sakthivel yang kritikal pula dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Besut di sini untuk menerima rawatan.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Pulau Perhentian Kecil yang enggan dikenali mendakwa, kesemua mangsa memasuki sebuah resort untuk bercuti pada Jumaat lalu.

Dia mendakwa 15 pelancong dari tiga keluarga tersebut kemudian mendapatkan perkhidmatan bot untuk mengunjungi Long Beach yang terletak di Pulau Perhentian Kecil berhampiran untuk menyaksikan pertunjukan api.

“Saya difahamkan mereka tetap mahu balik ke resort sebab sudah lewat malam walaupun dinasihatkan pemandu bot tidak berbuat demikian ekoran cuaca buruk.

“Sewaktu hampir tiba kira-kira 20 meter dari pesisir pantai Pulau Perhentian Besar, bot dinaiki mereka tiba-tiba terbalik akibat dilambung laut bergelora,” katanya di sini semalam.

Dia berkata, penduduk kampung yang menyaksikan kejadian itu segera menghulurkan bantuan.

Katanya, semua 16 mangsa termasuk pemandu bot berjaya dibawa naik ke darat, namun empat telah lemas termasuk tiga daripadanya meninggal dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN