fbpx
NURUL AINI menunjukkan sebahagian lauk-pauk yang ditawarkan di Restoran Pangkin Asap, Bukit Katil, Melaka.

Pangkin Asap saji lauk kampung gamit memori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK dinafikan, juadah tradisi merupakan sesuatu yang mampu mengimbau memori zaman dahulu.

Apatah lagi, jika lauk-pauk atau juadah yang dinikmati itu semakin sukar diperoleh.

Minat mendalam terhadap dunia kulinari serta hasrat untuk berkongsi keenakan juadah tradisi keluarga telah mendorong Nurul Aini Abdul Ghani, 31, membuka sebuah tempat makan dikenali sebagai Restoran Pangkin Asap yang terletak di Melaka.

Berkongsi dengan CitaRasa, wanita itu berkata, semua lauk-pauk yang disajikan di restoran tersebut adalah kegemaran arwah bapanya.

“Idea untuk membuka restoran ini tercetus daripada minat mendalam terhadap dunia kulinari dan keinginan untuk berkongsi masakan tradisional keluarga dengan orang ramai.

“Selain itu, saya melihat peluang untuk memperkenalkan hidangan dengan rasa asli yang semakin sukar ditemui di bandar ini.

“Dari situ, timbul idea untuk membuka restoran ini supaya lebih ramai orang dapat merasai lauk-pauk kampung asli.

“Apa yang menjadikan juadah di sini lebih istimewa dan menggamit memori adalah kerana ia merupakan hidangan kegemaran arwah ayah saya,” katanya membuka bicara.

Tambah Nurul Aini, nama Pangkin Asap dipilih kerana semasa hayat, arwah bapanya pernah membina sendiri sebuah pangkin kecil.

Pangkin itu dibina untuk memudahkan ibu Nurul Aini menyalai daging, itik dan ayam untuk hidangan mereka sekeluarga.

Menu istimewa disajikan di restoran tersebut adalah seleksi lauk-pauk kampung seperti daging salai yang disalai selama hampir sembilan jam dengan hanya menggunakan sabut kelapa.

“Apabila dimasak bersama kuah masak lemak cili padi, bau daging salai ini akan semakin wangi dan menyelerakan. Selain itu, menu lain perlu dicuba pelanggan adalah lauk-pauk yang semakin sukar diperolehi di mana-mana.

“Antaranya, asam pedas keladi, tahi minyak, telur itik pucuk asam gelugur, siput sedut masak lemak cili api bersama belimbing buluh, rendang maman daging serta pisang masak lemak cendawan kukur,” katanya.

Daging salai masak lemak menjadi menu paling laris di premis itu, selain sajian tahi minyak yang disifatkan Nurul Aini sebagai ‘rare’ dan wajib cuba.

“Tahi minyak yang merupakan sejenis sambal orang dulu-dulu menjadi menu rare di sini kerana tidak ramai tahu atau berkebolehan untuk memasak juadah ini. Tambahan pula, proses membuatnya amat leceh,” katanya.

Nurul Aini memaklumkan, dia berasa amat gembira apabila menu disediakan berjaya memikat hati pelanggannya.

Rata-rata pelanggannya menyifatkan juadah yang ditawarkan di Restoran Pangkin Asap mempunyai rasa seperti air tangan seorang ibu mereka.

“Setiap lauk kampung yang kami sajikan ini rasanya tidak sama dengan kedai lain. Rasanya seperti emak kita sendiri yang masak memandangkan semua juadah ini adalah resepi turun-temurun oleh ibu saudara kepada arwah bapa saya,” katanya.

Harga bagi set untuk seorang makan adalah antara RM15 hingga RM20, manakala set bagi lima orang dijual pada harga bermula RM95.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN