fbpx
Kebanyakan anak terikat dengan jumlah pinjaman lebih RM100,000 dan sebahagian besarnya adalah pinjaman along. - GAMBAR HIASAN JANAAN AI

‘Kau dah besar, dah kerja, inilah masa balas jasa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dalam ke­ghairahan anak-anak membalas jasa orang tua, semakin ramai terjerat dengan beban hutang sehingga terpaksa berdepan si­tuasi muflis, dikejar along demi memenuhi permintaan dan kehendak ibu bapa yang gemar mengungkit pengorbanan lalu.

Presiden Pertubuhan Warisan Rakyat Prihatin, Jannahtul Ain Jaafar berkata, ada satu kes dite­rima pihaknya berkaitan seorang bekas guru wanita yang kini disah­kan bankrap oleh mahkamah.

Katanya, semuanya gara-gara kegagalan individu itu melangsaikan pinjaman bank hampir RM200,000 yang dibuat ketika masih bujang dengan sebahagian besarnya untuk memenuhi permintaan ibu bapanya.

“Semuanya bermula ketika dia masih bergelar guru. Ketika itu, anak tersebut membuat pinjaman peribadi daripada sebuah bank untuk membiayai kos umrah ibu bapanya, membeli kereta untuk kegunaan mereka ke masjid serta menyediakan pelbagai kemudahan demi ‘keselesaan’.

“Dia anak sulung, rasa tanggungjawabnya sangat tinggi. Dia anggap ini cara untuk balas budi, sebab ibu bapa sudah besarkan dan hantar belajar sampai jadi cikgu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Jannahtul Ain berkata, segalanya berubah selepas wanita itu berkahwin dan perlu mengikuti permintaan suaminya untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumah.

“Suaminya berjanji akan menanggung segala hutang yang masih tertunggak. Malangnya, perniagaan suaminya jatuh me­rudum dan segala janji tinggal janji,” katanya.

Jelasnya, akibat kegagalan membayar ansuran yang tertunggak selama bertahun, ibu kepada dua cahaya mata itu akhirnya disahkan bankrap oleh mahkamah atas tuntutan sebuah bank.

“Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Bila surat saman sampai, dia panik. Dia tiada pendapatan, tidak tahu nak lawan. Akhirnya jadi bankrap. Segala beban itu berpunca daripada permintaan keluarga sendiri.

“Ibu minta belikan kereta, minta besarkan ruang dapur rumah lama. Suruh pasang ‘aircond’ sebab nanti menantu-menantu balik. Semua atas alasan ‘kau dah besar, dah kerja, inilah masa balas jasa’. Bila tak tunaikan, mula ungkit, ‘kami besarkan kau, takkan ini pun tak mampu’,” tambahnya.

Menurutnya lagi, fenomena ibu bapa mengungkit jasa lalu ini dikatakan menjadi punca utama ramai anak muda terjebak de­ngan hutang yang bukan untuk kehidupan mewah, tetapi bagi memenuhi kehendak keluarga.

“Dalam sebulan, sekitar 100 kes kami terima berkaitan ke­sengsaraan anak-anak tanggung hutang beribu demi penuhi permintaan ibu bapa.

“Kebanyakan mereka terikat dengan jumlah pinjaman lebih RM100,000 dan sebahagian besarnya adalah pinjaman along.

“Itu sahaja pilihan yang mereka ada apabila ibu bapa membuat macam-macam permintaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN