KUALA LUMPUR – Seorang mualaf mendedahkan penghijrahan dari Muar, Johor untuk menjadi pemandu lori di Klang, Selangor pada 2009 bagi mengubah nasib diri berakhir dengan tidur di kaki lima.
Muhamad Lau, 50 berkata, selepas dua kali bertukar kerja, dia nekad berhijrah ke ibu negara pada 2023 untuk mencuba nasib.
“Pada minggu pertama, saya terpaksa tidur di kaki lima beralaskan kotak kerana tiada duit sebelum dapat kerja di kedai barangan perkakasan, namun diberhentikan tidak lama kemudian.
“Ketika itu, saya tiada tempat tinggal dan duit tetapi malu untuk beritahu keluarga. Saya jadi gelandangan selama dua minggu,” katanya yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Menurut Muhamad Lau, dia malu dan segan untuk kem bali kepada keluarganya kerana hidup sebagai gelandangan ketika usianya hampir kepada gelaran warga emas.
“Gaji RM1,700 sebulan tidak cukup hidup di Kuala Lumpur kerana hanya lepas untuk ma kan minum saya sahaja. Saya harapkan ihsan orang dan tumpang berteduh di sebuah rumah kebajikan,” katanya yang cuba mengumpul duit sedikit demi sedikit.
Yat, 44, berkata, walaupun bekerja sebagai pelayan restoran dengan gaji RM1,500 tetapi tidak cukup untuk sewa bilik, tambang dan makan.
“Siang bekerja tetapi malam tidur di mana-mana. Ada kerja belum menjamin boleh bertahan di Kuala Lumpur,” katanya.
Ujar Yat, selepas beberapa bulan, dia dibuang kerja akibat sering membuat masalah setelah kematian bapanya April lalu.
“Bila ayah saya meninggal, gelap semuanya,” luahnya yang kini terpaksa meminta ihsan orang ramai untuk mendapatkan makanan selain menjadikan ruang legar berhadapan Masjid Jamek sebagai ‘rumahnya’.













