PETALING JAYA – Pelajar Malaysia di Jordan turut merasai bahang perang Iran-Israel apabila melihat dengan jelas letupan ekoran pintasan misil dari kediaman mereka selain merasai gegaran akibat hentaman peluru berpandu di Tel Aviv.
Seorang pelajar berkata, suasana cemas itu dialami ketika serangan balas Iran ke atas Israel baru-baru ini.
‘Kami boleh nampak dengan jelas misil dipintas depan mata. Misil serangan ini kelihatan seperti ‘shooting stars’ pada waktu malam. Kami juga merasai gegaran daripada serangan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Katanya, setiap kali serangan berlaku, siren amaran akan dibunyikan oleh pihak berkuasa Jordan bagi memberi amaran kepada penduduk setempat.
“Siren itu akan dibunyikan untuk maklumkan tentang kejadian serangan, dan semua pelajar akan lebih berwaspada,” jelasnya.
Tambahnya, walaupun Jordan tidak terlibat secara langsung dalam konflik tersebut, situasi yang berlaku tetap menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelajar.
“Saya tak rasa takut sangat sebab setakat ini tiada rakyat Jordan yang terlibat secara langsung tapi risau juga apabila mengenangkan waktu yang bakal diambil untuk capai kesudahan konflik ini,” ujarnya.
Bercerita lanjut, katanya, keadaan di sana masih terkawal, namun pergerakan keluar masuk negara terbatas susulan penutupan ruang udara.
“Keadaan kami di sini aman dan stabil, semua aktiviti dijalankan seperti biasa, tiada sebarang kawalan ketat yang menghalang pergerakan penduduk kecuali ruang udara ditutup,” katanya.
Sementara itu, seorang wanita berkata, dia bimbang keselamatan anak keduanya yang sedang menuntut di sana susulan ketegangan dua negara itu.
Lebih membimbangkan apabila, anaknya dijadualkan pulang tanah air hujung bulan ini tetapi ditangguhkan sehari atas faktor keselamatan.
“Penerbangan asal 26 Jun, tapi anak saya maklumkan semalam ia ditunda kepada 27 Jun. Itu pun kami belum pasti kalau tiada sebarang perubahan.
“Berdasarkan penceritaan anak saya, dia memberitahu nampak bom lalu di depan mata. Keadaan di sana tidak seperti biasa. Sebagai ibu, saya memang bimbang keselamatannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Ceritanya, hubungan komunikasi dengan anaknya agak terbatas sejak mula sampai ke Jordan dan hanya dapat berhubung selepas seminggu berada di sana.
Jelasnya, ketika ini dia hanya berhubung melalui WhatsApp dengan anaknya.
“Saya percaya semua ibu bapa yang ada anak di luar negara pasti risau. Tapi sebagai rakyat Malaysia, kami juga harap pihak berkuasa pantau rapat keselamatan anak-anak kami,” katanya.














