PEKAN – Perjalanan pulang lima beranak ke rumah mereka di Muadzam Shah, Rompin berakhir dengan tragedi selepas kereta jenis Proton Wira yang dinaiki bertembung dengan lori di Jalan Batu 8, Lepar di sini malam kelmarin.
Kejadian pada pukul 10 malam itu mengorbankan pasangan suami isteri iaitu Jamal Azizul Samat, 44, dan Lizawati Abdullah, 41. Tiga anak pasangan itu, Nursyammie, 17, Muhammad Syamril Alif, 15, Muhammad Syakir Iman, 6, pula cedera.
Lebih memilukan, ketika dibawa keluar dari kereta yang remuk, jasad Jamal Azizul dan isterinya dalam keadaan berpelukan.
Anak sulung mangsa, Nursyammie yang tersepit dalam kenderaan sempat membuat panggilan video kepada neneknya sejurus selepas kemalangan tersebut berlaku.
Som Hamzah, 65, berkata, dia tidak dapat melihat apa-apa ketika panggilan video dibuat berikutan keadaan di lokasi yang gelap.
“Saya cuma dengar cucu lelaki merintih ‘Umi, tolonglah sakit sangat’. Selepas itu saya dengar bunyi suara orang ramai.
“Dalam masa sama, menantu saya beritahu kereta yang dipandu anak (Jamal Azizul) terbabit kemalangan selepas menerima maklumat daripada kumpulan WhatsApp,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Pekan, di sini semalam.
Ketika kejadian, lima beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Muadzam Shah selepas berkunjung ke rumah ahli keluarga mereka di Kuantan.

Menurut Som, dia segera mengajak anak dan menantunya pergi ke lokasi kejadian dan sebaik sampai, ketiga-tiga cucunya masih berada di dalam kereta sambil menghulurkan tangan melalui tingkap meminta supaya diselamatkan.
Tiga beradik itu dibawa keluar dengan bantuan pihak bomba sebelum dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Anak lelaki Som dan menantunya pula meninggal dunia.
Cerita Som, ketika mayat anak dan menantunya dikeluarkan dari kereta yang remuk, mereka dalam keadaan berpelukan.
“Nyawa tiga cucu saya masih panjang apabila orang ramai berjaya memadam api ketika kereta Proton Wira tersebut hampir terbakar,” katanya.
Ibu lapan anak itu memberitahu, jenazah anak dan menantunya akan dikebumikan bersama di Felda Chini Timur 1 kerana itu merupakan amanat arwah supaya tidak memisahkan mereka sekiranya berlaku sesuatu.
Som berkata, sebelum kejadian, arwah Jamal pernah menyuarakan hasrat untuk membeli tanah dan membina rumah, namun hasrat tersebut tidak kesampaian.
“Adik dia (arwah Jamal) cadangkan abangnya supaya membeli kereta, tapi arwah tidak mahu. Dia nak beli tanah, sebab nak buat rumah,” katanya.

Sementara itu, ibu Lizawati, Siti Manap, 65, berkata, dia mengetahui nahas yang menimpa anaknya selepas dimaklumkan oleh anak saudara.
“Saya segera ke lokasi kejadian, tetapi sudah terlambat. Mereka (mangsa) sudah dibawa ke hospital. Kali terakhir saya bertemu arwah pada Hari Raya Aidiladha, tapi dia kerap hubungi saya melalui telefon.
“Arwah ada empat anak, namun anak ketiganya yang berusia 13 tahun tidak tidak ikut serta ke Kuantan pada hari kejadian. Arwah sekeluarga pergi ke Kuantan untuk bertemu keluarga iparnya,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Segamat.
“Setibanya di lokasi kereta dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan semasa memotong sebuah kenderaan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum berlanggar lori.
“Akibatnya, dua mangsa meninggal dunia di lokasi, manakala tiga penumpang cedera. Dua kelindan lori cedera ringan,” katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.














