PETALING JAYA – Seorang wanita warga Thailand ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di hadapan sebuah kedai di Taman Perindustrian Puchong Utama, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 kira-kira pukul 8.46 pagi.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang wanita warga Thailand berusia 26 tahun dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Farid berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Hasil pemeriksaan pihak doktor, tiada unsur jenayah dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan.
“Polis turut menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden ini,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE